18 Julai 2012

Siling runtuh: 13 murid dan seorang guru nyaris kena hempap

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

LANCHANG - Seramai 13 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lanchang yang sedang belajar mata pelajaran Kemahiran Hidup terselamat apabila siling sekolah berkenaan yang berusia lebih separuh abad runtuh.

Kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari kelmarin, ketika seorang guru yang berada dalam kelas terbabit mendengar bunyi seperti rekahan kayu beberapa minit sebelum tamat waktu persekolahan.

Siling bahagian hadapan kelas runtuh dahulu sebelum murid dan guru berlari ke bahagian belakang untuk keluar menyelamatkan diri masing-masing. Dalam keadaan sedikit kelam kabut itu, empat murid mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan runtuhan ketika keluar menyelamatkan diri.

Pihak sekolah kemudian mengarahkan semua empat bilik darjah yang menempatkan kelas Tahun Satu hingga Empat sebaris dengan kelas yang rosak itu dikosongkan.

Serentak itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin yang melawat mangsa dan sekolah terbabit semalam menggesa Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) dan Pejabat Pelajaran Daerah melakukan siasatan terperinci.

Menurutnya, siasatan awal mendapati runtuhan berpunca daripada kayu di kelas terbabit dimakan anai-anai hingga reput dan menyembah bumi. “Kita bernasib baik tidak ada yang cedera teruk dalam kejadian ini walaupun jika dilihat di tempat kejadian, keadaan runtuhan begitu teruk sekali,” katanya sewaktu melawat sekolah berkenaan, semalam.

Mohd Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang turut mengarahkan JPNP melakukan audit dan menghantar laporan bagi mengenal pasti bangunan sekolah di kawasan lain yang perlu dibaiki segera untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Memandangkan di Temerloh ada beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang sudah berusia lebih puluhan tahun dan uzur, maka laporan keadaan semasa bangunan sekolah itu perlu dinilai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sharkar berkata, bangunan baru SJKC Lanchang yang dibina tiga bulan lalu hampir siap dan sepatutnya boleh digunakan awal tahun depan. “Kita lihat bangunan baru sekolah ini hampir siap dan jika mampu disiapkan awal, maka murid-murid ini akan dipindahkan ke bangunan baru itu secepat mungkin.

“Buat sementara waktu, empat bilik darjah yang menempatkan murid Tahun Satu hingga Empat ditutup dan murid akan belajar sementara di kantin dan luar kelas. “Bangunan lama ini akan dibiarkan kosong kerana tidak selamat digunakan,” katanya.

Mohd Sharkar juga menasihatkan ibu bapa murid SJKC supaya tidak bimbang kerana pihak pengurusan menempatkan murid-murid di tempat selamat buat sementara waktu.

sinar harian/-

Tiada ulasan: