30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
George Town: Beberapa kepingan siling di depan kaunter tiket Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) runtuh mengakibatkan seorang pekerjanya cedera, Isnin, BERNAMA dipetik.
Pengurus Kanan PIA Mohd Arif Jaafar berkata ketika kejadian pukul 8.30 pagi itu, wanita berusia 26 tahun yang bertugas di kaunter khidmat pelanggan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas siling tersebut tiba-tiba runtuh dan menimpa kepala mangsa.
"Keadaannya stabil dan dia dirawat di Hospital Pulau Pinang sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi, Isnin.
Beliau berkata punca kejadian mungkin disebabkan hujan lebat berterusan sejak 4 pagi, menyebabkan permukaan atas siling tidak dapat menampung jumlah air yang banyak sehingga ia runtuh.
Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak menjejaskan penerbangan penumpang dan pihak pengurusan sudah menjalankan kerja baik pulih di kawasan terlibat.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang di dalam laman sosial fbnya mengecam Menteri Pengangkutan dan memintanya memberikan Pulau Pinang sebuah lapangan terbang yang boleh dibanggakan bukan yang boleh memalukan. Beliau berkata dengan kos RM250 juta, wang tersebut hanyut ke longkang jika ia tidak di belanjakan dengan betul.
Lim menyuarakan kesalnya dengan kejadian kebocoran yang besar di lapangan terbang pagi semalam.
Beliau mahu ibupejabat Malaysian Airport Berhad mengambil perhatian dan mendesak para pengarahnya datang ke Pulau Pinang memandangkan kejadian yang berlaku adalah serius. Lim menegur Menteri Pengangkutan supaya tidak hanya mengambil berat mengenai hal-hal nombor plat kereta dan kamera saman automatik, tetapi perlu melaksanakan kerjanya seorang menteri pengangkutan.
"Anda boleh lihat sendiri betapa seriusnya situasi ini," bentak Lim dengan menunjukkan beberapa keping gambar terhadap insiden tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan