30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
GEMPAR...kakitangan Wisma KWSG keluar dari bangunan sementara pemeriksaan dilakukan, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang telefonis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Cawangan Kuala Lumpur Bandar di Wisma Kumpulan Wang Simpanan Guru-Guru
(KWSG), Kampung Attap, di sini, menggigil sebaik menerima panggilan
menyatakan ada bom untuk meletupkan bangunan itu jam 10.30 pagi,
semalam.
Panggilan bom palsu yang dibuat seorang lelaki jam 9 pagi itu
menyebabkan lebih 300 kakitangan di bangunan 21 tingkat terbabit diarah
keluar.
Kakitangan KWSG, Aishah Salim, 40, berkata, beliau
mengetahui mengenai panggilan itu sebaik pengawal keselamatan
mengarahkan semua kakitangan mengosongkan bangunan dan berkumpul di
depan bangunan.
“Saya diberitahu pemanggil terbabit memberitahu dia benci LHDN dan
sudah meletakkan lima bom dalam bangunan yang akan meletup tepat jam
10.30 pagi.
“Kami semua meninggalkan bangunan dan membawa
barang berharga sementara menunggu polis menjalankan pemeriksaan,”
katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Pengarah
LHDN Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Zulkifli Mohd Tahir berkata, seorang
telefonisnya menerima panggilan daripada seorang lelaki memberitahu dia
meletakkan lima bom dalam bangunan.
“Telefonis itu memaklumkan kepada pegawai keselamatan lalu
menghubungi saya yang ketika itu sedang bermesyuarat di Wangsa Maju.
Saya arahkan beliau menghubungi polis dan minta kakitangan kosongkan
bangunan,” katanya.
Menurutnya, selain LHDN, bangunan berkenaan turut menempatkan kakitangan jabatan kerajaan lain dan swasta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner
Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.11 pagi
dan sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian.
“Unit
Pengesan Bom dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan dalam bangunan,
namun selepas sejam, pemeriksaan tidak menemui bahan letupan dan
bangunan terbabit disahkan selamat sebelum semua pekerja dibenarkan
masuk,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan