16 Oktober 2012

Kempunan naik kereta api mini

30 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
PADANG BESAR - Perasaan kecewa pasti menyelubungi orang ramai setiap kali mengunjungi kawasan pelancongan, Gua Kelam di sini apabila perkhidmatan kereta api mini yang terkenal di pusat rekreasi tersebut tidak lagi beroperasi sejak tiga tahun lalu.

Tinjauan mendapati orang ramai dan pelancong yang mengunjungi kompleks kereta api tersebut yang pernah popular satu ketika dahulu pulang dengan kehampaan.

Seorang pengunjung dari Kedah, Nuliana Sabri, 20, berkata, dia teringin untuk merasai pengalaman menaiki kereta api itu bagi menikmati suasana gua yang terletak di Banjaran Nakawan tetapi kecewa selepas mendapati perkhidmatan itu tidak lagi disediakan.

"Dahulu, saya sering baca blog dan dengar kawan yang pernah menaiki kereta api mini bercerita tentang pengalaman menarik mereka.

"Malangnya, setelah saya sampai ke sini saya kecewa ekoran perkhidmatan tersebut tidak lagi dibuka kepada orang ramai sejak tiga tahun lalu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada September 2009 lalu, kereta api mini di Gua Kelam diberhentikan operasinya setelah perkhidmatan tersebut hilang kawalan secara tiba-tiba menyebabkan 24 murid sekolah dan guru terlibat dalam kemalangan.
Dalam kejadian tersebut, gerabak kereta api mini berkenaan dikatakan menggelongsor turun beberapa meter sebelum merempuh penghadang di stesen permulaan dipercayai ekoran bekalan elektrik yang terputus ketika mendaki bukit di dalam gua itu.

Kejadian tersebut menyebabkan dua penumpang terpelanting keluar dari gerabak dan menerima jahitan di kepala manakala enam lagi cedera terhantuk dan selebihnya hanya cedera ringan.

Perkhidmatan tersebut dibuka kepada orang ramai pada awal tahun 2009 lalu yang menyajikan pengalaman kepada pengunjung melalui laluan terowong bekas kerja perlombongan ratusan tahun dahulu dan ketika penjajahan Jepun sejauh kira-kira 400 meter.

Selain itu, struktur dalaman gua yang cantik termasuk kejadian alam berusia lebih 300 juta tahun yang dinamakan tirai gua juga menarik perhatian ramai pengunjung.

kosmo/-

Tiada ulasan: