18 Oktober 2012

Tergamam lihat gajah besar

2 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Tergamam lihat gajah besar
Selamah menunjukkan keadaan pokok kelapa yang ditumbangkan oleh gajah di halaman rumahnya di sini.
Tergamam lihat gajah besar
 
Cucu Selamah, Raja Mohd Firdaus, 13, menunjukkan kesan tapak kaki gajah di belakang rumah mereka.

KUANTAN – “Saya tergamam seketika apabila melihat gajah setinggi bumbung rumah,” kata Mohd 
Zulfahmi Mohd Zan, 25, yang berdepan detik-detik cemas apabila tanaman di halaman rumahnya dimusnahkan haiwan tersebut dalam kejadian malam kelmarin.

Katanya, sebelum ini dia ada menerima amaran daripada rakan-rakan agar berhati-hati kerana kemungkinan besar rumahnya akan didatangi haiwan tersebut kerana ada yang terlihat kelibat gajah ini berhampiran rumahnya di Kampung Kuala Kenau di sini.

Menurut Zulfahmi, dia tidak menyangka amaran itu menjadi kenyataan apabila terlihat dua gajah liar menceroboh kawasan rumahnya sebelum memusnahkan tanaman pisang, kelapa, kekacang dan sebagainya kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

“Ketika itu saya dan isteri sedang tidur dan terdengar bunyi bising di luar rumah. Saya cuba memberanikan diri untuk mengintai dan alangkah terkejutnya saya apabila terlihat perut gajah tersebut dari celah dinding rumah.

“Saya dan isteri kecut perut. Ketika itu, kami hanya mampu berdoa agar gajah tersebut tidak naik minyak kerana bila-bila masa sahaja ia boleh meranapkan rumah kami ini,” katanya.

Katanya, setiap kali gajah tersebut berjalan dan bergesel di dinding, mereka dapat merasai gegaran rumah tersebut dan jika geseran itu kuat, rumah mereka boleh runtuh sekelip mata sahaja.

“Nak lari pun susah juga kerana salah seekor gajah tersebut berada di depan rumah yang menempatkan motosikal saya. Tambahan pula, hanya jalan itu sahaja yang boleh kami gunakan untuk lari.

 “Saya dan isteri hanya boleh bertawakal sahaja agar gajah tersebut merempuh rumah,”katanya.

Bimbang rumah roboh

Isteri Mohd Zulfahmi, Normaizura, Aida Othman, 24, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan berharap agar kejadian malam kelmarin tidak berulang lagi.

“Ini pengalaman pertama saya berdepan dengan situasi yang mendebarkan ini. Ketika itu saya hanya mampu berdoa agar Allah panjangkan umur saya dan suami serta selamatkan anak dalam kandungan saya ini.

“Setiap kali terasa rumah bergegar akibat bergesel dengan gajah tersebut, saya rasa cemas kerana ia mungkin boleh merobohkan rumah ini dengan hentaman beberapa kali,” katanya.

Sementara itu, nenek mereka, Selamah Long, 72 berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah dan bersyukur apabila kedua-dua cucunya ini selamat.

“Dahulu memang selalu dengar mengenai gajah di Sungai Lembing ini, namun tidak menyangka haiwan liar itu akan datang ke rumah dan memusnahkan tanaman kami,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Kuala Kenau, Niyamil Hasaan berkata, sudah banyak kejadian gajah masuk kampung dan meranapkan tanaman penduduk serta berharap agar pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“Setahu saya, sejak dahulu lagi ada tiga kumpulan gajah di Sungai Lembing ini iaitu di Sempadan Pahang-Terengganu di Ulu Reman, Gunung Tapis dan Ulu Rengit yang berlegar-legar di sini.

"Saya harap agar pihak Perhilitan dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin kerana ia menimbulkan ketakutan kepada penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan,Khairiah Mohd Shariff berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini dan pemantauan secara berkala telah dilaksanakan di kawasan tersebut bagi menghalang gajah-gajah ini menceroboh di kebun dan juga petempatan penduduk.

SINAR/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

syukur mereka tidak diapa-apakan oleh makhluk besar tu!