17 Safar 1433H. [MOD] -
TUMPAT - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang digesa menggunakan
sebaik-baiknya peluang ke udara di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM)
bagi memperjelas amanatnya pada 1981 yang dikatakan mengkafirkan Umno.
Menggesa demikian, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berkata isu (amanat) itu telah mengakibatkan perpecahan di kalangan
masyarakat Islam di negara ini.
Beliau menyifatkan amanat itu sebagai 'fatwa politik'.
"Ia pendapat politik yang harus dibayar harganya dengan mahal kerana
apa yang berlaku dengan masyarakat Islam di beberapa kawasan seperti
perpecahan dalam keluarga dan masalah dalam komuniti.
"Perkara ini perlu diperbetulkan," kata Ahmad Zahid mengulas keputusan
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim
memberi peluang kepada Abdul Hadi untuk membuat penjelasan menerusi RTM.
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di
pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 di sini hari
ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, anggota Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim tengkujuh bagi
membantu mangsa banjir di Pantai Timur.
"ATM turut menempatkan pasukan perubatan di kawasan memerlukan sebagai bantuan tambahan kepada Kementerian Kesihatan," katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata ATM juga sedia mencurah tenaga untuk
membaiki rumah mangsa banjir yang rosak akibat bencana alam itu.
"Kami tidak mempunyai peruntukan untuk membeli bahan-bahan bagi kerja
membaik pulih tetapi kita akan bantu daripada segi tenaga kerja,"
tambahnya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan