31 Disember 2012

Tembakan ketika berbual

17 Safar 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN: Seorang lelaki maut apabila ditembak dari jarak dekat ketika berbual dengan rakannya di hadapan sebuah rumah di Jalan Lembah Permai, Taman Brown, Gelugor, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, S Kalimuthu, 29, dari Jalan Yeap Chor Ee, di sini, mati ketika dalam perjalanan ke hospital selepas terkena tembakan di bahu kanan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan baru pulang dari sebuah pusat beli-belah sebelum tiba di rumah berkenaan dan berbual bersama dua lagi rakan lain.

“Ketika sedang berbual, dua kereta menghampiri mereka dan seorang lelaki keluar dari sebuah kereta terbabit lalu melepaskan tembakan dari dekat.

“Tembakan itu terkena bahu kanan mangsa hingga dia rebah sebelum kumpulan penjenayah terbabit melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, melihatkan keadaan itu, rakan mangsa membawanya ke sebuah hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba.

“Siasatan awal mendapati, kumpulan penjenayah terbabit menaiki kereta Toyota Vios serta Perodua Kenari dan suspek yang menembak mangsa bertubuh tinggi dan agak kurus.

“Selain itu, hasil semakan awal juga mendapati mangsa pernah menganggotai sebuah kumpulan kongsi gelap dan kemungkinan penjenayah menembaknya kerana dendam lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: