31 Disember 2012

Kanopi Tidak Begitu Selamat dan Tidak Sesuai Untuk Pasar Malam Kekal

17 Safar 1433H. [MOD] -


MIRI:  Pasar Malam di Pusat Komersial, Saberkas Miri sudah menjadi tarikan pengunjung dalam dan luar negeri. Pasar Malam Saberkas mula beroperasi seawal petang hari Khamis hingga hari Sabtu.

Setelah bertahun-tahun para penjaja memohon tapak kekal, akhirnya pihak berkuasa telah memberi tapak kekal kepada para penjaja di situ untuk berniaga. Baru-baru ini pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah memperuntukan sebanyak RM400,000 untuk membina tempat perniagaan kekal untuk para penjaja pasar malam di situ.

Walaupun pihak MBM telah memberi peruntukan sebanyak RM400,000 untuk memasang kanopi tetapi mereka tidak puas hati sebab kanopi yang dipasang itu tidak akan kekal lama dan mudah rosak apabila terkena hujan dan panas.

Persoalannya mengapa pihak MBM memasang kanopi bukan terus memasang bumbung yang kekal dan tahan lama. Kanopi hanya boleh bertahan dalam masa beberapa minggu atau bulan saja, itu pun kalau tidak berlaku ribut taufan seperti yang berlaku di Miri beberapa bulan yang lalu.

Gerai peniaga boleh terbang dan tercabut inikan pula kanopi yang belum tentu boleh bertahan ketika di tiup angin kuat. Baru-baru ini ada berlaku kanopi tumbang terkena hujan lebat belum lagi terkena ribut kata para penjaja di situ. Kalau terjadi ribut sudah pasti kawasan ini tidak selamat kepada para penjaja dan juga pengunjung di situ.

Mereka mohon agar pihak MBM perlu menukar kanopi sekarang kepada bumbung yang lebih tahan lama disamping membina tempat perniagaan yang lebih selamat dan selesa untuk para penjaja dan juga pengunjung. 

Kita sarankan kepada pihak MBM agar dapat membina rekabentuk pasar malam yang sesuai dengan konsep terbuka seperti pasar Tamu, dimana bumbung setinggi kanopi sekarang, dengan tiang yang lebih kukuh dan tahan lama. Ianya lebih teratur dan nampak kemas dibandingkan dengan penggunaan kanopi.
Walaupun kosnya agak mahal tetapi untuk keselamatan dan keselesaan para penjaja serta pengunjung ianya lebih baik daripada menggunakan kanopi yang sudah tentu mudah rosak dan akan mengambil kos yang tinggi untuk membaik pulih serta penyelenggaraan sekiranya berlaku kerosakan dan sebagainya.

Untuk jangka masa panjang, menggunakan kanopi memang tidak sesuai kerana ianya mudah rosak kalau dibandingkan membina sebuah bangunan pasar malam yang kekal seperti bangunan pasar Tamu.

Kita mengesa pihak MBM agar segera menukar kanopi yang diguna sekarang kepada bumbung yang lebih kukuh dan boleh bertahan lama disebabkan kawasan tapak pasar malam sekarang sudah diwartakan sebagai tapak kekal untuk berniaga. Tiada gunanya membazir peruntukan sebanyak RM400,000 semata-mata membina kanopi yang bersifat sementara sedangkan keselamatan para penjaja dan pengunjung juga perlu diambil kira.

Kita tidak mahu wang pembayar cukai dibazir begitu saja tanpa perancangan yang teliti dan boleh mengancam nyawa orang awam. Sebelum berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi, lebih baik bertindak dari sekarang sebelum semuanya terlambat.

Semoga pihak MBM dapat bertindak segera demi menjaga keselamatan para penjaja dan juga para pengunjung yang akan datang ke situ nanti. Kerjasama serta pertimbangan yang sewajarnya dari pihak MBM amat dihargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
 

Tiada ulasan: