31 Disember 2012

Operasi roboh banglo mewah Bukit Setiawangsa mula pagi ini

17 Safar 1433H. [MOD] -


Operasi roboh banglo mewah Bukit Setiawangsa mula pagi ini
Othman (tengah) ketika sidang media di lokasi.
KUALA LUMPUR - Kerja-kerja meroboh sebuah banglo mewah yang terjejas akibat runtuhan benteng konkrit di Puncak Setiawangsa di sini dimulakan oleh kontraktor dilantik pihak pemaju sejak jam 10 pagi tadi menggunakan kren.

Bagaimanapun, kerja-kerja yang dijangka mengambil masa beberapa hari itu perlu dilakukan dengan berhati-hati berikutan masih terdapat pergerakan tanah.

Kerja-kerja meroboh bermula dari bahagian bumbung sedikit demi sedikit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Suprt Othman Abu Bakar berkata, baki banglo masih dalam zon tidak selamat.

Bagaimanapun menurutnya, mana-mana penghuni di banglo lain selain tujuh itu, kini dibenarkan memasuki kembali kediaman masing-masing.

"Namun, 58 rumah teres dan 17 rumah kedai yang terletak di bahagian bawah cerun masih diklasifikasikan sebagai kawasan tidak selamat yang mana kini semua telah dikosongkan.

"Setakat ini, seramai 283 penghuni direkodkan terlibat dan berpindah, kita jangka akan dapat mengetahui jumlah sebenar dalam sehari dua lagi selepas cuti berakhir kerana mungkin ada yang tiada di rumah," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Beliau berkata, laluan alternatif masih dipantau pihak berkuasa yang mana hanya membenarkan penghuni dan pekerja terlibat melaluinya.

Katanya pihak polis akan terus memantau rumah-rumah yang dikosongkan.

"Kita juga akan membuat kenyataan kepada media setiap hari pada jam 11 pagi dan tiga petang, dan juga melibat agensi teknikal lain sekiranya diperlukan," katanya.

sinar/-


Tiada ulasan: