31 Disember 2012

Jadi 'tokan' rokok, ganja hidup mewah tapi tak bahagia

17 Safar 1433H. [MOD] -


Jadi 'tokan' rokok, ganja

Contoh ‘dapur’ buatan sendiri yang digunakan untuk mengambil ganja.
 
Bijak berniaga tapi digunakan pada jalan salah – itulah yang dapat disimpulkan daripada kisah dikongsi Deen (bukan nama sebenar) pada penulis. Di sebalik kejayaannya bergelar usahawan pada hari ini, rupa-rupanya dia mempunyai kisah silam yang menarik untuk dikongsikan.

“Dari kecil saya memang minat berniaga. Waktu darjah satu lagi saya selalu ambil alat tulis kakak lalu jual di kelas.

“Otak saya sentiasa ligat berfikir macam mana nak beranakkan duit. Mungkin sebab terbiasa tengok mak buat kira-kira perbelanjaan keluarga depan mata kot,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini. 

Dari satu segi sifat suka berniaga ini memang patut dipuji. Cuma yang tak baiknya, Deen sanggup berniaga apa saja yang dirasakan boleh jadi duit.

Bagaimanapun, Deen memiliki otak yang cerdik. Keputusan UPSR yang baik membuatkan dia dapat melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama.

“Masa inilah saya belajar merokok. Sifat ingin tahu buat saya mencubanya tapi tak kerap sebab rasa membazir.

“Tapi bila tengok kawan gilakan rokok, saya dapat idea untuk tambah pendapatan dengan menjualnya,” ujar Deen.

Prestasi pelajaran yang bagus di samping raut wajah baik membuatkan tiada sesiapa termasuk guru disiplin mengesyaki Deen membekalkan rokok kepada pelajar lain. Paling utama, dia mempunyai tempat simpanan terbaik.

“Saya beli rokok setiap kali keluar bandar. Nak bawa masuk rokok dalam asrama tak ada masalah tapi nak menyimpannya susah. Tapi sebagai ketua pustakawan saya mempunyai kunci stor pusat sumber jadi di situlah saya simpan tanpa dicurigai sesiapa,” kata Deen.

Perniagaan rokok yang dijalankan Deen menghasilkan pulangan lumayan buat budak sekolah sepertinya. Jenama rokok yang mendapat permintaan tinggi adalah Dunhill, Marlboro dan Pall Mall. Dibeli pada harga RM5.90 untuk 20 batang pada masa itu namun menjualnya semula 50 sen sebatang, mudah-mudah saja Deen mendapat untung.

'Paipon' atau ‘dapur’

Di sebalik kesibukan dengan ‘perniagaan’, kecemerlangan keputusan PMR melayakkan Deen memasuki sebuah sekolah berasrama penuh lain ketika tingkatan 4.

“Di tempat baru, saya diperkenalkan pula dengan ganja yang biasa dipanggil 'dam'. Dalam hati terus berbisik, ‘wah ini peluang bisnes baru ni!’.

“Bila difikirkan semula, pelik juga mengapa saya langsung tak rasa gentar masa tu padahal tahu ia menyalahi undang-undang. Apa yang saya bayangkan cuma peluang buat duit,” getus Deen.

Oleh sebab karakternya yang peramah dan pandai bergaul, Deen dengan mudah berkawan rapat dengan seorang pengawal keselamatan sekolah yang dapat membekalkannya ganja. Setelah beberapa kali berurusan, dia akhirnya turut diperkenalkan terus kepada pembekal utama.

“Bila dah rapat saya dibenarkan ambil 'dam' secara consignment sebelum dijual pada harga RM30,” ujar Deen.

Meskipun agak mahal untuk kategori pelajar, sepaket ganja masih mampu dimiliki kerana mereka akan berkongsi membelinya. Satu plastik cukup untuk ‘dinikmati’ antara empat hingga lima orang.
Cara pengambilannya pula, biasanya dihisap seperti rokok biasa selepas ganja digulung dalam rokok daun atau disedut daripada alat buatan sendiri dipanggil 'paipon' atau ‘dapur’ yang diperbuat daripada botol, silinder pen dan kertas aluminium.

“Permintaan lebih tinggi setiap kali menjelang cuti sekolah sebab mereka nak bawa balik stok ke rumah. Pernah sebab nak cepat, saya datang ke tempat pembekal dan bantu dia bungkus sendiri ganja ke dalam plastik,” ujar Deen.


Kena tahan di Siam

Keputusan SPM Deen tidak terlalu teruk tapi tidak juga cemerlang. Begitu pun dia masih mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah IPT.

“Saya ambil keputusan tak nak sambung belajar sebab rasa dah nampak jalan macam mana nak dapat duit lebih.

"Caranya tak lain tak bukan, jual ganja. Selama dua tahun buat kerja tu saya dah ada ‘networking’ yang baik dan pelanggan tetap,” ujar Deen.

Justeru sebaik sahaja tamat belajar dan tinggal di rumah sewa, langkahnya lebih panjang. Deen juga bertindak lebih berani apabila melakukan sendiri kerja pembungkusan ganja. Justeru untungnya lebih besar dan lumayan.

“Kali ini saya tak turun padang lagi. Saya upah budak-budak yang buat kerja. Duit pada masa itu memang tak luak dan saya hidup mewah,” cerita Deen.

Dia amat berhati-hati menjalankan kegiatannya. Pelanggan tidak dibenarkan melakukan urus niaga terus dengannya kecuali yang sudah lama dikenali. Deen menyerahkan urusan mengambil wang dan menghantar barang kepada budak-budaknya.

Sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak diperangkap, paket ganja biasanya diletakkan dalam sampul surat sebelum diserahkan pada pembeli di tempat awam seperti pasar malam dan kedai malam. Duit pula perlu diserahkan terlebih dahulu kepada individu lain sebelum barang diberikan.

Hinggalah satu hari, Deen melepasi sempadan Thailand seperti biasa untuk mengambil stok ganja. Entah bagaimana dia ditangkap oleh pihak berkuasa sana kerana disyaki melakukan perkara menyalahi undang-undang.

“Mujur waktu itu saya belum sempat ambil barang. Mati-mati saya tak mengaku tapi seminggu jugalah rasa azab dalam penjara di sana,” kata Deen.

Katanya, dia terpaksa bersesak bersama sembilan yang lain dalam sel kecil yang sepatutnya muat untuk 3 orang sahaja. Namun akhirnya, dia dibebaskan kerana tak cukup bukti.

“Balik saja sini, saya dapat tahu tiga budak saya kena tahan. Yang bagusnya mereka ditangkap bukan di tempat saya tapi waktu sekatan jalan. Rupa-rupanya mereka mencuri ganja milik saya bila dengar khabar saya kena tahan di Siam,” ujar Deen.

Dengan ganja seberat lebih 2000 gram, masing-masing didakwa di bawah Seksyen yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

“Sedih juga dengan nasib mereka tapi saya anggap itu satu wake-up call untuk sedar bahawa Tuhan mahu bagi peluang kedua. Sejak itu saya tinggalkan terus kegiatan yang salah dan memulakan perniagaan lain secara sah.

"Hasilnya tidak selumayan jual ganja tapi hati rasa lebih tenang dan bahagia,” ujar Deen sebelum mengakhiri perbualan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: