05 Disember 2012

Hak asasi Malaysia lebih teruk berbanding Myanmar


21 Muharram 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR 5 Dis: Siasatan polis ke atas beberapa pimpinan Pakatan Rakyat ekoran menyertai Langkah Hijau 25 September lalu membuktikan hak asasi di Malaysia lebih teruk berbanding Myanmar, kata Ahli Biro Politik KEADILAN, Sivarasa Rasiah.
Katanya, ketika negara junta tentera itu menggubal undang-undang yang lebih terbuka, Malaysia pula mengambil langkah sebaliknya dengan menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) untuk menyekat hak rakyat berhimpun.
“Negara kita ada sekatan yang lebih besar (berbanding Myanmar). PAA memerlukan kita memberi notis sepuluh hari sebelum adakan perhimpunan tetapi di Myanmar hanya tetapkan lima hari.
“(Malah) undang-undang di Myanmar membenarkan perarakan. Dalam akta (negara) kita, ia dianggap sebagai jenayah,” kata Ahli Parlimen Subang itu pada sidang media di depan Balai Polis Wangsa Maju selepas disoal siasat semalam.
Pimpinan KEADILAN yang turut disoal siasat, Naib Presiden, Tian Chua; Pengarah Jawatankuasa Disiplin, Datuk Dr Tan Kwee Kwong; Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda, Rozan Azen Mat Rasip.
Hadir sama memberi sokongan, Pengarah Guaman, Latheefa Koya.
Sebelum itu, Yang Dipertua PAS Batu, Ishak Surin memberi keterangan 1 Disember lalu di balai polis sama.
PPA diwartakan pada 23 April 2012, selepas diluluskan tergesa-gesa oleh kerajaan Umno BN.
Akta itu turut digunakan untuk mendakwa Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin kerana menyertai perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu.
Tian berkata, siasatan polis itu membuktikan kebimbangan Pakatan Rakyat bahawa kerajaan Umno BN akan menjadikan akta itu senjata untuk menyekat rakyat ternyata benar.
“Inilah sebabnya kenapa kita bantah PAA sebelum ini. Ia memang digunakan untuk menyekat rakyat, tiada lagi jaminan untuk berhimpun dengan aman,” katanya.
Lebih 20,000 rakyat menyertai perarakan Langkah Hijau sejauh 42 kilometer yang bermula di Markas PAS Taman Melewar menuju Dataran Merdeka bagi membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.
Sebahagian peserta, antaranya Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan bermula 13 November lalu.
.keadilandaily.

Tiada ulasan: