Simpang tiada lampu isyarat

Jalan Simpang Tiga Kunci Air Besar menjadi laluan utama pengguna dari beberapa kampung sekitar.
LANGKAP - Seramai 10,000 penduduk di beberapa kampung termasuk Simpang Tiga, Kunci Air Besar, Batu 38, terdedah dengan bahaya kemalangan maut akibat ketiadaan lampu isyarat di kawasan itu.
Persimpangan jalan itu menjadi laluan utama pengguna dari Ipoh ke Teluk lntan  mahupun dari Kampar  ke Sungai Manik.

Penduduk, Masrup Sukir 48, berkata, ketiadaan lampu isyarat di persimpangan jalan itu membahayakan pengguna termasuk pejalan kaki.

Menurutnya, kenderaan berat seperti treler sering dipandu  laju apabila ingin masuk ke simpang berkenaan.

Menurutnya,  tindakan itu menyebabkan beberapa kenderaan lain terpaksa berhenti mengejut akibat tindakan pemandu treler  yang enggan berhenti sebelum masuk ke simpang itu.

"Setiap bulan pasti berlaku kemalangan di kawasan ini kerana kesibukan laluan itu yang sering digunakan penduduk di beberapa kampung berhampiran.

“Selain itu, laluan tersebut sering menjadi trek perlumbaan mat rempit terutama pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Degong, Abdul Aziz Mohamad, 60, berkata, beliau pernah merayu kepada pihak berkenaan sejak empat tahun lalu supaya memasang lampu isyarat di lokasi itu.

“Tetapi hingga sekarang pihak berkenaan tidak memberi jawapan dan belum juga membina lampu isyarat  di kawasan maut itu.

“Kami, tidak faham kenapa pihak berkenaan tidak serius  menangani masalah itu,apakah agensi itu  mahu melihat lebih ramai yang terkorban baru mahu bertindak?” katanya.

Pegawai Perhubungan Khas Ahli Parlimen Pasir Salak, Ramly Yusoff,  menjelaskan, pihaknya banyak menerima aduan penduduk dan perkara itu telah dikemukakan kepada pihak berkenaan supaya segera membina lampu isyarat di situ.
sinar/-