05 Disember 2012

Kes AES: 7 OKS hanya diberi amaran lisan

21 Muharram 1433H. [MOD] -


\
KUALA LUMPUR: Daripada 914 orang kena saman (OKS) berhubung Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), hanya 22 dari mereka hadir pada sebutan kes di Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Lapan daripada jumlah 22 yang hadir itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan melanggar isyarat lalu lintas.

Hakim, Noorasyikin Sahat menetapkan 19 dan 20 Disember ini bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyerahkan dokumen berkaitan.

Bagi 14 orang yang mengaku melakukan kesalahan itu pula, tujuh dari mereka diberi amaran lisan, manakala tujuh lagi dikenakan kompaun sebanyak RM300 atau 3 hari penjara.

Kesemua mereka yang hadir ke mahkamah hari ini didakwa melakukan kesalahan kerana tidak mematuhi isyarat lampu merah di persimpangan Jalan Kelang Lama-Jalan Shapadu.

Persimpangan tersebut merupakan salah satu dari 14 lokasi yang telah dipasang kamera AES bagi fasa pertama oleh Kementerian Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, baki OKS seramai 894 lagi yang tidak hadir hari ini dikeluarkan waran tangkap.

Sebutan kes hari ini sekali lagi mengejutkan banyak pihak sama seperti kali pertama pada 29 November lalu, apabila hanya dua daripada 120 OKS hadir ke mahkamah.

Peguam Zulhazmi Shariff yang juga merupakan penasihat undang-Undang kepada Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor berkata, melihat kepada keputusan amaran lisan yang diberikan oleh hakim hari ini menjelaskan setiap kesalahan AES tidak semestinya dikenakan bayaran denda RM300.

Malah beliau juga turut menyeru agar pemandu yang mendapat saman AES hadir ke mahkamah dan tidak perlu membayar saman tersebut di JPJ.

"Kita lihat bagaimana hakim memutuskan ada antara mereka hanya diberikan amaran lisan.

"Jadi pemandu yang mendapat saman tidak perlu ke JPJ untuk membayar saman tersebut, mereka hadir ke mahkamah dan kita menyediakan khidmat guaman percuma kepada mereka bagi menyelesaikan kes tersebut," jelasnya.


harakah/-

Tiada ulasan: