12 Disember 2012

Jalanraya, Parit dan Padang Permainan Kampung Rancah-Rancah Perlu Dinaiktaraf

28 Muharram 1433H. [MOD] -

BEKENU – Baru-baru ini PAS Miri telah melawat Kampung Rancah-Rancah

dalam parlimen Sibuti. Kebanyakan penduduk di situ bekerja sebagai
petani dan juga nelayan. Perjalanan dari bandaraya Miri mengambil masa
lebih satu jam.

Jalanraya utama Kampung Rancah-Rancah baru sahaja diturap tetapi
apabila kita memasuki simpang kampung, jalannya agak sempit dan juga
sistem peparitan tidak teratur dengan baik.

Jalan semen sempit yang sudah retak hanya boleh dilalui oleh kenderaan
satu hala saja pada satu-satu masa dan ianya agak berbahaya sekiranya
tidak berhati-hati ketika memandu terutama sekali pada waktu malam
kerana longkangnya juga agak dalam.

Begitu juga jambatan kayu yang agak usang dan perlu dibaik pulih
dengan segera agar ianya tidak mengancam keselamatan penduduk yang
melalui jambatan itu.

Selain masalah jalan, parit dan jambatan, menurut kata salah seorang
penduduk di situ, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal Menteri Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah Malaysia pernah datang ke kampung Rancah-Rancah
berjanji untuk membina sebuah padang permainan untuk anak muda di
kampung tersebut.

Tapi malangnya, projek padang permainan tersebut sampai hari ini tidak
kelihatan ujud yang tumbuh hanya lalang dan belukar di tapak itu.
Mereka mahu kerajaan menaik taraf kampung serta menunaikan janji yang
belum ditepati sebelum PRU13 nanti agar dapat dilaksanakan dengan
segera.

Kita mohon kerjasama pihak yang berkenaan agar dapat menyelesaikan
masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung Rancah-Rancah dengan
segera tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: