JOHOR BAHRU – “Siapa yang tidak gelap mata apabila ternampak timbunan
wang sebegitu banyak, lebih-lebih lagi seorang janda beranak tiga
seperti saya yang memerlukan duit untuk menanggung persekolahan
anak-anak.”
Itu pengakuan Salina, 30-an (bukan nama sebenar) saat menceritakan pengalamannya menyertai kumpulan jemaah ‘tarik duit’.
Menurut Salina, jemaah berkenaan diketuai oleh seorang lelaki
dikenali sebagai Bujal 40-an yang mendakwa mampu menghasilkan wang
jutaan ringgit.
“Jemaah turut disertai tujuh individu lain termasuk seorang doktor yang sanggup melabur sehingga puluhan ribu ringgit,” katanya.
Menceritakan detik perkenalannya dengan Bujal ketika menjalankan
urusan perniagaannya, Salina mengakui lelaki itu mempunyai perwatakan
alim selain pandai mempengaruhi orang lain dengan tutur kata sopannya.
“Disebabkan seorang rakan baik turut menyertai jemaah ini, membuatkan
saya turut terpengaruh, apatah lagi saat saya dan anak-anak memerlukan
wang.
“Disebabkan begitu percaya dengan pujukan Bujal, saya sanggup
laburkan semua wang simpanan yang ada asalkan hasilnya berlipat kali
ganda.
“Akibat terlalu taksub dengan kebolehan Bujal itu jugalah saya
tergamak menggunakan wang untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak,”
katanya.
Selain menyerahkan wang, Salina juga diarahkan untuk menyediakan
pelbagai barangan ketika ‘upacara’ menarik duit seperti tujuh helai kain
satin berlainan warna, bekas bara, jarum, air mawar dan wang sebanyak
RM180 atas nama bayaran fidyah.
Menurut Salina, aktiviti sesat itu dijalankan di beberapa hotel
sekitar bandar raya ini di mana ahli jemaah diarahkan untuk membaca
surah lazim al-Quran ketika Bujal sedang menjalankan upacara.
“Ia berlarutan selama empat bulan dan dijalankan pada 10 malam hingga
awal pagi, Bujal akan menggunakan sehelai kain hitam dan kira-kira
setengah jam kami membaca surah dia akan tunjukkan hasil wang
diperolehi.
“Jumlah wang diperolehi memang banyak. Bayangkan daripada sehelai kain berwarna hitam kemudiannya ada duit sebanyak itu.
Menurut Salina, kemuncak aktiviti mereka berlaku sebelum Aidilfitri tahun lalu apabila pembahagian wang bermula.
Salina mengakui dalam pembahagian itu, dia memperolehi 500 keping
RM50 untuk dijadikan ibu duit yang boleh menghasilkan wang sehingga RM6
juta.
“Bujal tidak membenarkan saya mengambil kesemuanya, dia hanya
menyerahkan dua sampul surat, kononnya berisi sebanyak RM300,000. Namun,
saya perlu mematuhi beberapa syarat sebelum melihat isi kandungan
sampul surat itu apabila sampai di rumah.
“Bujal minta saya membaca surah Al-Fatihah, Al-Kausar dan Ayat Kursi, semuanya mesti dibaca sebanyak 100 kali pada tengah malam.
“Bagaimanapun belum sempat menyudahkan bacaan surah berkenaan, rakan
baik menelefon dan memaklumkan apa yang diperolehi di dalam sampul surat
yang diberi Bujal,” katanya.
Tanpa berlengah Salina pun melihat isi kandungan sampul surat itu dan
dia terkejut apabila mendapati sampul surat berkenaan berisi kertas
putih yang dipotong dan seberkas resit yang saiznya seperti wang kertas.
“Siapa yang tidak terkejut, malah salah seorang daripada jemaah kami
turut meninggal dunia akibat serangan jantung selepas mengetahui keadaan
sebenar.
“Bagaimanapun Bujal memberi alasan wang yang ditarik telah ‘rosak’ menyebabkan ia bertukar menjadi kertas kosong.
“Bujal berjanji jika saya serahkan RM500 dia akan menjalankan upacara
itu sekali lagi. Akibat terpedaya dengan janji manis saya sanggup
meminjam wang daripada ah long kerana yakin akan dapat pulangan berlipat
kali ganda,” ceritanya.
Bagaimanapun kira-kira seminggu kemudian, Salina akhirnya tersedar
dia sebenarnya telah ditipu Bujal dan dalam masa yang sama ah long pula
memburunya kerana wang RM500 yang dipinjamnya telah naik kepada RM1,500.
Bujal pula menghilangkan diri, mujur seorang rakan baiknya bersimpati dan melangsaikan hutang berkenaan.
“Walaupun saya hanya rugi sekitar RM3,000 namun ia begitu memberi
pengajaran, selama empat bulan menyertai jemaah itu, perniagaan saya
merudum kerana hilang fokus. Saya berkongsi cerita ini sebagai
pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mudah tertipu.
“Akibat terlalu tertekan saya masih belum melaporkan kes ini kepada
polis. Mungkin dalam masa terdekat saya dan rakan lain yang ditipu akan
membuat laporan supaya lelaki penipu seperti Bujal menerima hukuman
setimpal,” katanya.
Sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan