5 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
|
LONDON - Sebuah helikopter melanggar sebuah kren dan terhempas di
sebatang jalan raya di pusat bandar raya ini semasa waktu puncak semalam
dengan dua terbunuh serta sembilan orang lagi cedera, kata pihak
berkuasa semalam.
Helikopter tersebut terhempas di selatan Sungai Thames berhampiran
stesen kereta api bawah tanah di Vauxhall dekat bangunan agensi
perisikan Britain, MI6.
Polis berkata, seorang mangsa mengalami kecederaan yang serius.
Perkhidmatan Ambulans London memberitahu, beberapa orang yang cedera ringan pula dirawat di sebuah hospital berdekatan.
Seorang pegawai polis, Neil Basu mengesahkan juruterbang helikopter itu mati termasuk seorang orang awam.
Mengulas nahas berkenaan, Kementerian Pertahanan menyatakan,
helikopter berkenaan bukan milik tentera manakala kemalangan itu juga
dipercayai bukan serangan pengganas.
Rakaman saluran berita Sky News menunjukkan bangkai helikopter itu sedang terbakar di atas jalan raya dengan kawasan sekitarnya dipenuhi asap hitam.
Beberapa saksi berkata, helikopter itu melanggar sebuah kren yang
berada di atas bumbung bangunan penginapan setinggi 50 tingkat iaitu
Menara Dermaga St. George.
Seorang pekerja di kawasan berdekatan, Allen Crosbie berkata, letupan
yang berlaku menyebabkan dia dan beberapa orang lain yakin bahawa
bandar raya ini sedang diserang.
"Saya 100 peratus yakin bahawa kejadian itu adalah serangan pengganas," kata lelaki tersebut.
"Terdapat serpihan bangkai helikopter dan asap hitam berkepul-kepul," tambahnya.
Punca nahas masih disiasat tetapi seorang pakar penerbangan, Chris
Yates memberitahu, cuaca berkabus mungkin menjadi faktor kemalangan itu
berlaku.
Pihak berkuasa juga akan memeriksa sama ada kren tersebut mempunyai lampu navigasi. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan