17 Januari 2013

Kanak-kanak derita 'diserang' kudis

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


Kanak-kanak derita 'diserang' kudis
Fuziah (kanan) melihat keadaan Mohd Darwish didukung ibunya, Wahida yang menghidap penyakit kulit sambil turut diperhatikan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang.
 
KUANTAN – "Setiap malam Mohd Darwish akan menangis kerana kulitnya gatal seluruh badan, kami semua juga tidak boleh tidur kerana tidak sampai hati melihat penderitaannya selain berusaha untuk melegakan kegatalannya."

Demikian kata ibu kepada kanak-kanak berusia empat tahun, Wahida Zulkapli, 24 yang disahkan menderita sejenis kulit dikenal sebagai impetigo sejak dua bulan lalu.

Kata Wahida, pada mulanya Mohd Darwish  hanya mengalami kemerahan di bahagian kaki seakan ruam tetapi lama kelamaan ia menjadi seakan kudis sebesar syiling 20 sen.

“Bermula daripada kecil ia mula merebak sehingga ke dua-dua belah kaki dan akhirnya ke seluruh badan dalam masa tidak sampai sebulan," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Sudah pelbagai cara dilakukan untuk merawat penyakit anak sulungnya namun kata Wahida sehingga kini masih belum menunjukkan tanda akan pulih.

"Saya sudah dua kali membawanya ke hospital dan doktor sudah memberi pelbagai ubat namun keadaannya tetap sama.

"Setelah buntu memikirkan cara mengubati penyakit Mohd Darwish, kini saya mengambil langkah mengawal pemakanannya dan tidak memberinya makanan yang boleh menyebabkan kegatalan," katanya.

Wahida juga tidak membiarkan Mohd Darwish tidak berbaju untuk mengelakkan anaknya itu berpeluh dan boleh menyebabkan kegatalan.

"Saya sangat kasihan melihat keadaannya yang tidak selesa dan mula menggaru apabila terasa gatal sehingga ada bahagian kulit yang terkopek dan berdarah," katanya.

Kata Wahida, dia tidak mampu untuk membawa anaknya berjumpa dengan pakar kulit memandangkan dia hanya suri rumah manakala pendapatan suami yang bekerja sebagai tukang rumah juga tidak menentu.

Penderitaan  Mohd Darwis mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang berkunjung ke rumahnya di Kampung baru, dekat sini.

Beliau turut memberi bantuan ubatan bagi membantu melegakan penyakit kanak-kanak itu selain lampin pakai buang dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban keluarga itu yang turut menjadi mangsa banjir pada 24 Disember lalu.

Info

Impetigo adalah jangkitan kulit yang biasanya menghasilkan lepuh atau sakit pada muka, leher, tangan dan kawasan lampin.

Impetigo biasanya menyerang kanak-kanak. Seorang kanak-kanak mungkin lebih cenderung untuk menghidap impetigo jika kulit mengalami masalah  seperti   gigitan serangga,  lecuhan atau luka kecil.

sinar/-

Tiada ulasan: