|
BEIRUT - Sebuah jet pejuang tentera Syria mengebom sebuah stesen
minyak berhampiran Damsyik semalam menyebabkan berpuluh-puluh orang
terbunuh dan cedera.
Ia merupakan serangan yang terburuk dalam konflik yang berlanjutan selama 22 bulan.
Beberapa aktivis yang menentang pemerintahan Presiden Syria, Bashar
Al-Assad berkata, sebuah jet pejuang MiG buatan Rusia melakukan serangan
itu dengan menggunakan peluru berpandu.
Menurut mereka, stesen minyak itu kemudian terbakar di bandar Mleiha.
Sebuah video amatur di internet menunjukkan sekurang-kurangnya 10
mayat bergelimpangan di stesen tersebut dengan sejumlah anggota badan
manusia bertaburan.
Dalam kejadian berasingan, satu serangan udara tentera dilancarkan di
bandar Moadamiyet al-Sham, barat daya Damsyik mengorbankan
sekurang-kurangnya 12 orang, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia
Untuk Syria.
Kebanyakan daripada mangsa merupakan kanak-kanak daripada ahli keluarga yang sama.
Pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan tentera Bashar bermula sejak Mac 2011.
Lebih 43,000 terbunuh dalam konflik itu.
Para penentang itu menuntut Bashar meletakkan jawatan kerana mereka
tidak berpuas hati dengan pentadbirannya yang tidak membawa pembaharuan
sejak kebangkitan penduduk berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan