03 Januari 2013

Mayat wanita dalam semak

20 Safar 1433H. [MOD] -


Mayat wanita dalam semak
Anggota polis melihat secara dekat tempat di mana mayat mangsa ditemui.
BANDARAYA MELAKA - Orang ramai yang melalui sebatang jalan di Cheng, dekat sini, pagi semalam gempar apabila menjumpai mayat seorang wanita tertiarap berhampiran kawasan semak di lokasi berkenaan.

Wanita berkenaan yang dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an dan masih lengkap berpakaian, ditemui kira-kira jam 9.30 pagi sebelum dimaklumkan kepada polis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, walaupun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat, polis percaya mangsa merupakan seorang warga asing berdasarkan bentuk tubuh dan fizikalnya.

Menurutnya, pemeriksaan kawasan berhampiran tempat kejadian turut membawa polis kepada penemuan sebuah beg tangan dipercayai milik mangsa kira-kira 100 meter dari tempat mayatnya ditemui.

Bagaimanapun, tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal polis, kita percaya mangsa telah mati antara tiga dan empat jam sebelum mayatnya ditemui. Pemeriksaan awal juga mendapati tiada kecederaan pada mangsa melainkan pendarahan pada bahagian telinganya.

“Bagaimanapun, kita akan menyiasat kes ini dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya di sini, semalam.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang awam atau mereka yang mempunyai kenalan atau keluarga hilang supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu mengenal pasti identiti mangsa.

sinar/-

Tiada ulasan: