20 Safar 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR - Sebanyak 107,760 akaun pengguna membabitkan setengah
juta isi rumah di sekitar Lembah Klang terpaksa menghadapi krisis
bekalan air yang dijangka berlarutan selama seminggu sehingga Selasa
depan.
Gangguan bekalan air yang melibatkan pengguna di daerah Gombak dan
sebahagian kawasan di Kuala Lumpur itu berpunca daripada kegagalan
sistem pam di dua lokasi berasingan iaitu di rumah pam Wangsa Maju dan
Pudu Hulu Baru.
Rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi dalam keadaan melebihi
kapasiti mencecah 220 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti asal
reka bentuk sebanyak 136 JLH manakala rumah pam Pudu Hulu Baru pula
gagal berfungsi ekoran kerosakan papan suis utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.
(Syabas), Datuk Ruslan Hassan berkata, bekalan air dijangka pulih secara
berperingkat mulai hari ini dan pulih sepenuhnya dalam tempoh tujuh
hari memandangkan kawasan yang terlibat dengan krisis air kali ini agak
besar.
|
"Setelah kerja memperbaiki pam yang rosak selesai hari ini (semalam),
kita jangka tempoh baik pulih penyaluran air ke kawasan-kawasan yang
terlibat akan mengambil masa.
"Ini memandangkan kekurangan bekalan rezab bekalan air sedia ada
telah hampir pada paras kosong dengan permintaan harian di ibu kota,
Selangor dan Putrajaya sebanyak 4,400 JLH berbanding bekalan sebanyak
4,436 JLH," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan penduduk
di Flat Sri Melaka, Cheras di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi
dan Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal
Awam Syabas, Priscilla Alfred.
Dalam perkembangan berkaitan, Ruslan mendakwa kelewatan kerajaan
Selangor membangunkan sistem pengepaman tambahan baharu di rumah pam
Wangsa Maju menjadi antara punca gangguan bekalan air di kawasan itu.
Menurutnya, sistem pengepaman sedia ada terpaksa diuruskan di
peringkat melebihi tahap keupayaan sehingga projek berkenaan siap
sepenuhnya akhir tahun ini.
"Pihak Syabas telah mengemukakan cadangan membina sistem itu kepada
kerajaan pada tahun 2009 dan pelan pembangunan projek serta pinjaman itu
telah diluluskan pada Mac tahun lalu.
"Namun sehingga kini, kita difahamkan projek tersebut masih lagi di
peringkat rundingan reka bentuk oleh kerajaan Selangor dan dijangkakan
projek itu akan mengambil masa setahun untuk disiapkan jika dilaksanakan
pada kadar segera," katanya.
Ruslan berkata, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) oleh
kerajaan Persekutuan atau projek lain yang dicadangkan kerajaan Selangor
perlu dilaksanakan dengan segera bagi menyelesaikan krisis bekalan air
di negara ini dalam jangka masa panjang.
"Sistem pengepaman tambahan sekarang ini hanya bersifat penyelesaian jangka pendek," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan