03 Januari 2013

Takziah kepada keluarga Pahlawan Negara, Kanang

20 Safar 1433H. [MOD] -

KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan sahabat handai di atas kematian Pahlawan Negara, Kanang a/k Langkau, 68, (gambar) awal pagi tadi di Hospital Besar Sarawak.

Kanang meninggal dunia pada jam 1.45 pagi tadi selepas dikejarkan ke hospital apabila beliau mengadu mengalami kesukaran bernafas dan pengsan di rumah pada kira-kira tengah malam, kata isterinya, Datin Brawang Chunggat.

Kanang, seorang pegawai waran bersara, adalah penerima terakhir Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) iaitu anugerah tertinggi untuk keberanian negara selain juga turut menerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K.) semasa hidupnya.

Dilahirkan di Julau, Sarawak, Kanang menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962. Beliau diserap ke dalam Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963. Kanang menyiapkan perkhidmatannya selepas 21 tahun sebagai Pegawai Waran 1.

"Saya mewakili Lajnah Hal-Ehwal Sabah & Sarawak DPPM, PAS Sarawak dan PAS Kawasan Batang Lupar dengan ini mengucapkan takziah dan berharap agar keluarga mendiang bersabar di atas kehilangan mutiara negara yang tidak ternilai ini," kata Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Hal-Ehwal Sarawak, Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Beliau yang juga Yang Di-Pertua PAS Kawasan Batang Lupar, Sarawak berkata, kehilangan Kanang adalah satu kehilangan kepada negara dan Sarawak.

harakah/-

Tiada ulasan: