03 Januari 2013

Himpunan 12 Jan: Pakatan harap PM tunai janji

Mohamad Sabu20 Safar 1433H. [MOD] -


Mohamad Sabu
 
PETALING JAYA - Kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dijadual berlangsung 12 Januari ini di Stadium Merdeka tetap akan berlangsung di lokasi yang sudah diuar-uarkan meskipun belum mendapat maklum balas berhubung kebenaran dari pihak yang bertanggungjawab.

Pengarah himpunan berkenaan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya tidak bercadang menukar lokasi himpunan yang diharapkan berjaya mengumpul kira-kira sejuta rakyat Malaysia.

"Buat masa ini, hanya Stadium Merdeka. Saya yakin PM akan tunai janji," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis setiausaha Pakatan Rakyat di sini, hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu  ditanya sama ada terdapat lokasi alternatif lain yang difikirkan jawatankuasa itu sekiranya mendapat halangan dari pihak berkuasa untuk mengadakan himpunan di stadium terbabit.

Sebelum ini sudah berlangsung dua siri Himpunan Kebangkitan Rakyat iaitu di Negeri Sembilan pada 3 November dan 17 Disember lalu di Perlis.

Menurut Mohamad, kedua-dua perhimpunan itu berjalan dengan jayanya dan mendapat kerjasama baik dari pihak polis.

"Kami jamin himpunan ini (Stadium Merdeka) akan berlangsung aman," tegasnya lagi.

Himpunan yang bakal berlangsung dua minggu dari sekarang ini akan bermula pada jam 2 hingga 5 petang.

Berkonsepkan santai, acara kemuncak pada petang itu adalah bacaan deklarasi rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, pimpinan utama Pakatan Rakyat akan bertemu Ketua Polis Negara bagi membincangkan perkara tersebut dalam tempoh segera.

Sementara peringkat kedua diikuti oleh jawatankuasa induk himpunan tersebut akan bertemu Ketua Polis Kuala Lumpur.

Kedua-dua surat berhubung perkara itu akan dihantar hari ini.

Himpunan ini akan diadakan serentak dengan beberapa negara lain seperti Austalia, Sydney, London dan Dubai.

Di ibu negara, himpunan akan disertai oleh pemimpin dan penyokong parti politik termasuk NGO-NGO yang menyokong dasar-dasar pembangkang.

sinar/-

Tiada ulasan: