14 April 2013

Alkisah gadis yang kena tipu selalu…

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Di kampung Meliya, hanya terdapat sebuah kedai runcit untuk para penduduk untuk mendapatkan bahan-bahan keperluan selama ini.

Pengangkutan yang serba susah ke bandar-bandar lain dengan keadaan kampung Meliya agak terpinggir menyebabkan para penduduk hanya boleh bergantung kepada kedai pakcik Isajimad.

Huda, seorang gadis manis membesar di kampung Meliya sering membeli barang di kedai runcit Isajimad.

Pada usia 4, Huda pergi membeli aiskrim di kedai Isajimad.

“Pakcik, nak aiskrim termurah tapi paling sedap,” kata Huda dengan manja.

“Ini dia. 30 sen. Kedai pakcik sentiasa jual termurah,” kata Isajimad.

Pada usia itu juga, Huda ada berkesempatan ke bandar berdekatan dengan ayahnya. Dia terjumpa aiskrim yang sama tapi dijual pada 15 sen sahaja. Huda tidak berkata apa-apa.

“Apa masalahnya? Pakcik Isajimad tak tipu saya. Mengapa sini lebih murah?” bisiknya di hati.

Pada usia 10, Huda mula ditugaskan untuk membeli barangan seperti sayur, gula, garam dan minyak dari kedai pakcik Isajimad.

“Usah bimbang. Kedai pakcik termurah,” kata Isajimad lagi ketika Huda membeli barang.

Peristiwa yang sama berulang. Usia tersebut, Huda sempat mengikuti program anak angkat di bandar berdekatan. Mak angkat juga memberikan tugas yang sama kepada Huda. Dan Huda dapat membeli barangan yang sama – sayur, gula, garam dan minyak pada harga yang murah.

“Pakcik Isajimad tak tipu saya. Apa masalahnya sini saya guna lebih sedikit duit daripada di kampung?” tanya Huda lagi.

Pada usia 15, Huda kini seorang budak remaja. Kedai runcit Isajimad pula sudah menjadi pasaraya. Rumah pakcik Isajimad sudah seperti istana di Kampung Meliya. Isteri pakcik Isajimad mula menggunakan beg-beg mahal.

Tapi internet masih tiada di kampung Meliya.

Seperti biasa, Huda masih mengunjungi pasaraya Isajimad.

Kali ini ada peristiwa menarik.

“Abang. Bil air di rumah RM300 sebulan. Bil letrik RM1,000 sebulan. Ayang nak beli beg mahal. Abang kena jual mahal sikit barang-barang. Orang-orang kampung ini mana tahu harga tinggi ke rendah. Ini sahaja pasaraya yang ada. Siapa nak buka kedai baru dua tiga tahun kebelakangan ini, kita pun dah hantar gangster halau mereka. Usah bimbang,” Huda terdengar kata-kata dari belakang pasaraya ketika cuba mencari pakcik Isajimad.

Huda tak berapa faham apa yang diceritakan secara mendalam.

“Huda dah sampai. Nak beli apa. Suruh Kak Amin (pekerja) untuk ambilkan,” kata pakcik Isajimad.

Huda pun membayar. Kali ini, Huda bertanya.

“Pakcik, harga ini macam mahal sikit. Berpatutan ke?” tanya Huda.

“Pakcik tak pernah jual mahal. Pakcik jual termurah. Harga pakcik naik sedikit. Kos pengangkutan dah naik. Jadi pakcik kena naik sedikit, tapi masih termurah. Tak percaya Huda bandinglah dengan kedai lain di sini,” jawab pakcik Isajimad.

“Oh begitu. Ok. Bye pakcik,” kata Huda.

Usia itu, selepas PMR, Huda dihantar ke sekolah asrama penuh di bandar. Huda mendapati barangan di luar masih lebih murah daripada apa yang dijual pakcik Isajimad di kampung.

Usia 21, Huda kembali ke kampung bercuti. Sudah ada bas ke bandar lain. Dan ada satu pasaraya baru di Kampung Meliya yang melawan kedai pakcik Isajimad.

“Huda, jangan pergi kedai baru itu. Mahal dan diuruskan oleh bukan orang kampung kita. Buat apa bagi duit kat orang kampung lain. Belilah barangan dari pakcik. Kita sekampung, pakcik jual termurah. Ada untung, pakcik derma keluar. Orang luar, dia datang jual mahal, dia ambil duit kampung ke kampung sebelah,” kata pakcik Isajimad.

“Pakcik. Pada usia 4, pakcik kata aiskrim pakcik paling murah 30 sen. Huda pergi bandar, orang jual 15 sen. Usia 10, Huda beli sayur, garam, minyak, gula dari pakcik – pergi bandar orang jual lebih murah. Usia 15, Huda ke asrama penuh baru tahu pakcik jual 40% lebih mahal dari harga pasaran. Sekarang Huda dah besar. Tak payahlah pakcik nak tipu Huda lagi. Cukuplah selama ini pakcik mangsakan orang kampung sendiri untuk tampung makcik yang belanja besar… Saya akan cuba membeli di pasaraya baru kali ini. Tak kisah apa pakcik kata. Bye,” kata Huda.

Di pasaraya baru, Huda terjumpa ramai kawan lama. “Sini murahlah daripada kedai pakcik Isajimad itu. Dia asyik kata duit kita akan dimakan oleh orang kampung lain walhal selama dia samun duit kita,” kata kawan Huda.

Huda hanya tersenyum. Dia gembira kini bukan saja dia yang sedar, tapi anak-anak muda yang membesar di kampung Meliya sedar, kedai pakcik Isajimad itu penyamun.

Senyum.

Tuan Ibrahim Tuan Man
www.facebook.com/ustaztitm



Tiada ulasan: