14 April 2013

Maut dipaksa minum racun

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SITIAWAN – Seorang kontraktor maut selepas diculik oleh sekumpulan empat lelaki untuk merampas wang mangsa berjumlah RM60,000 di sebuah tokong di Sungai Wangi, Ayer Tawar di sini, minggu lalu.

Mangsa, Ong Tee Kong, 53, bukan sahaja di seksa dengan menggunakan senjata tajam, malah dipaksa minum racun oleh penjenayah terbabit sebelum meninggalkan mangsa dalam keadaan nazak.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian mangsa dipukau oleh penjenayah terbabit ketika masuk ke kawasan tokong itu.

“Penjenayah terbabit mengelar dada dan badan mangsa berulang kali dengan menggunakan pisau menyebabkan mangsa mengalami kecederaan yang  serius.

“Selepas diberikan racun, suspek kemudian lari meninggalkan mangsa.

"Mangsa yang dalam keadaan nazak sempat menghubungi rakannya dan dibawa mendapat rawatan di Hospital Seri Manjung,” katanya.

Katanya, mangsa sempat memberitahu kejadian menimpanya itu sebelum disahkan mati pada jam 9.05 malam selepas dibawa ke hospital swasta di Ipoh untuk mendapat rawatan susulan.

Menurutnya, pihak polis yang melakukan siasatan menemui kesan cecair hijau di tangga tokong yang tidak berpagar itu.

“Contoh cecair racun itu sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan memaklumkan, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengetahui motif sebenar kematian.

Sinar/-

Tiada ulasan: