14 April 2013

Dua muka baru taruhan Pas

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Dua muka baru taruhan Pas

Dari kiri: Yohanis, Dr Hamzah dan Mohd Zakhwan diumumkan sebagai calon Pas yang akan bertanding pada PRU13 di kawasan Parlimen Jerantut.
JERANTUT - Pas Pahang mencalonkan dua muka baru dan mengekalkan satu muka lama bagi meneruskan persaingan sengit dengan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi kawasan Parlimen Jerantut, pada 5 Mei ini.

Pengumuman itu disempurnakan Ahli Majlis Syura Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sempena ceramah parti itu di Bandar Baru Inderapura, di sini, kelmarin.

Calon muda Pas yang akan bertanding di kerusi Dun Pulau Tawar ialah Yohanis Ahmad, 35.

Anak tempatan Kampung Kedondong, Pulau Tawar itu merupakan lulusan pengajian dakwah dari Universiti Al Azhar, Mesir dan kini bertugas sebagai pegawai tadbir guaman di Kuala Lumpur.

Manakala bagi kerusi Dun Tahan, seorang lagi calon muda diketengahkan Pas Pahang iaitu Mohd Zakhwan Ahmad Badaruddin, 34.

Beliau merupakan pendakwah bebas yang berasal dari Kampung Lada, Jerantut Feri dan lulusan dari sebuah universiti di Yemen.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang dalam pengumuman itu juga mengekalkan Dr Hamzah Jaafar, 48, seorang ahli perniagaan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Jerantut.

Dr Hamzah merupakan lulusan Pengajian Islam, Universiti Malaya dan memiliki Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar, Sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Colombo/Arizona dalam bidang Pemakanan Sunnah.

Beliau pernah bertanding di kerusi Parlimen Jerantut pada PRU 2004 dan 2008, namun tewas kepada penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar pada dua pilihan raya sebelum ini.

Tuan Ibrahim berkata, Dr Hamzah merupakan anak tempatan Kampung Batu Balai, Jerantut dan mampu mengubah senario politik Jerantut serta memberi persaingan sengit dengan bantuan dua calon muka baru menentang BN berasaskan pengalamannya pernah bertanding pada dua PRU lalu.

Manakala bagi kerusi Dun Damak, Tuan Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat (PR) masih lagi memperincikan dua calon daripada DAP dan PKR.

Menurutnya, pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat dalam satu majlis di Temerloh.

Menurutnya, calon baru dan lama pasti memperlihatkan kehangatan PRU13 kali ini sekali gus memenuhi misi dan visi Pas untuk memenangi semua kerusi di kawasan Parlimen Jerantut.

Sinar/-

Tiada ulasan: