14 April 2013

Mayat terapung di sungai

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Mayat terapung di sungai

Bomba berjaya menarik keluar mayat mangsa yang tersangkut dengan menggunakan tali dalam tempoh 10 minit. Gambar kecil: Sebahagian dokumen peribadi ditemui pada poket seluar.
KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemui terapung di Sungai Klang berdekatan sebuah pusat beli-belah terkenal di sini, pagi semalam.

Mayat mangsa, Azidin Ahmad, 36, ditemui orang awam berdekatan sebuah stesen monorel di sini, kira-kira jam 10 pagi.

Bagaimanapun, mayat itu kemudiannya hanyut sehingga ke lokasi kejadian, sebelum tersangkut di situ.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Lee Abdullah berkata, selepas menerima maklumat, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk menyiasat, namun mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mayat hingga terpaksa mendapatkan bantuan bomba.

"Kita tidak tolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum lemas. Pemeriksaan awal menunjukkan tiada kecederaan pada badan mangsa dan kita percaya, dia baru mati beberapa jam sebelum mayatnya ditemui," katanya, semalam.

Azlee berkata, pihaknya juga menemui beberapa barangan peribadi seperti Mykad serta lesen pada bahagian poket seluarnya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Salmi Abdul Mukti berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 10.46 pagi.

"Kita terpaksa masuk ke dalam sungai untuk mengikat badan mangsa dengan tali. Dalam tempoh 10 minit mayatnya berjaya dinaikkan ke atas tebing," katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: