26 April 2013

Debat: Adnan kata tiada masa, Najib tetap enggan

15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUANTAN: Setiausaha Menteri Besar Sementara Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata jadual bosnya penuh dan tiada masa untuk berdebat dalam debat manifesto anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Negeri Pahang  (Gamis Pahang).

Pengerusi Gamis Pahang Ahmad Fatihi Mathtar yang dihubungi Harakahdaily sebentar tadi untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai debat manifesto antara Adnan dan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku calon MB PR yang dipilih Gamis berkata setiausaha Adnan memberikan alasan tiada masa.

“Kami tetap meminta beliau memberikan satu masa. Debat ini penting untuk rakyat Pahang untuk menilai siapa yang lebih layak diangkat sebagai kerajaan mereka 6 Mei ini,” kata Fatihi.

Fatihi berkata beliau akan terus cuba untuk mendapatkan tarikh daripada Adnan. Tuan Ibrahim sudahpun memberikan persetujuan untuk menghadiri debat dan sekarang hanya menunggu Adnan untuk memberikan masa.

Di Facebook, semakin ramai rakyat Pahang mendesak agar debat ini diadakan selepas berita Gamis menganjurkan debat ini dipaparkan di Harakahdaily.

“Doa untuk debat ini dapat dilangsungkan untuk rakyat Pahang,” kata seorang guru dari Taman Tas yang sudah bersara.

Sementara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak tetap enggan berdebat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika wawancara dengan Al Jazeera walaupun kajian UMCEDEL menunjukkan lebih 60 peratus pengundi mengharapkan debat itu dapat dilangsungkan sebelum hari mengundi.

“Ada pelbagai cara untuk mencapai orang awam, kedua-dua parti politik mempunyai banyak ruang di Malaysia… debat tidak akan diadakan, kita perlu berinteraksi dengan rakyat, pembangkang perlu berinteraksi dengan rakyat,” Najib memberitahu Al-Jazeera dalam satu temuramah yang bakal disiarkan besok.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: