26 April 2013

Polis buru empat remaja

15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Kuala Lumpur: Polis Daerah Dang Wangi, memburu empat remaja termasuk seorang perempuan yang dipercayai melakukan ugutan menggunakan senjata api serta mencederakan anak seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pahang, di Jalan Changkat, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, perselisihan faham bermula ketika kereta Proton Satria dipandu mangsa, Mohamad Noor Ikmal Ibrahim, 19, yang juga seorang pelajar jurusan pendidikan Universiti Selangor (UNISEL) bersama tiga rakannya terhimpit dengan kereta dinaiki suspek ketika keadaan jalan kawasan berkenaan sesak. 

Tarik mangsa keluar 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata suspek dilaporkan menarik keluar mangsa dan seorang rakannya sebelum menampar, memijak dan menendang mangsa di kawasan berkenaan dengan disaksikan orang ramai.

Selepas mencederakan mangsa, suspek kembali ke kereta BMW berwarna hitam menggunakan nombor pendaftaran WTV5338 dan mengambil sepucuk pistol serta menghalakannya ke arah mangsa namun tidak melepaskan sebarang tembakan.

Suspek kemudiannya bertindak merempuh bahagian belakang kereta mangsa hingga mengakibatkan mangsa berasa takut dan memecut keretanya untuk menyelamatkan diri sebelum menyedari keretanya diekori suspek sejauh tiga kilometer dari tempat kejadian, katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, akibat bimbang dengan keselamatan mereka, mangsa dan rakannya yang turut mengalami kecederaan akibat dipukul suspek kemudian membuat laporan polis di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya. 
Siasatan awal yang dijalankan mendapati nombor pendaftaran kereta dipandu suspek adalah nombor palsu selepas semakan polis mendapati nombor berkenaan didaftarkan ke atas sebuah kereta Proton Saga.

Siasat rakaman

Sehingga kini polis sedang menjalankan siasatan lanjut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian bagi mengesan semua suspek mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 506 kanun yang sama atas kesalahan mendatangkan ugutan jenayah.

Saksi kejadian ini diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 atau Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi di talian 03-26002391.

Berita harian/-

Tiada ulasan: