26 April 2013

Pemantau pilihan raya tak adil?

15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Adly
Adly menunjukkan gambar yang diambil di persimpangan Desa Duyong di mana bendera BN masih dipasang di atas pembahagi jalan.
 
BANDARAYA MELAKA - Tindakan pemantau pilihan raya mengarahkan Pas menurunkan bendera parti yang dipasang di beberapa lokasi di Durian Tunggal dilihat seolah-olah satu tindakan penguatkuasaan terpilih (selected enforcement).

Pesuruhjaya Pas Melaka, Adly Zahari berkata, faktor keselamatan pengguna jalan raya telah digunakan sebagai alasan arahan itu dikeluarkan supaya bendera tidak dipasang di persimpangan jalan.

Menurutnya, Pas akur dengan arahan berkenaan dan telah bertindak mengalihkan bendera yang dipasang di persimpangan Jalan Gangsa-Durian Tunggal serta beberapa lokasi lain di Durian Tunggal.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa arahan itu hanya dikeluarkan kepada Pas di kawasan Durian Tunggal dan bukannya di kawasan lain.

“Di kawasan di mana Pas dominan, seperti di Durian Tunggal, arahan itu telah dikeluarkan.

“Bagaimanapun, dari pengamatan saya, kawasan yang dominan BN tidak pula bendera dialihkan dari persimpangan jalan atau pembahagi jalan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan ini membayangkan seolah-olah penguatkuasaan terpilih dikenakan kepada Pas dan bukannya parti politik lain.

Menurutnya, apa yang beliau bimbang adalah tindakan itu boleh mewujudkan prasangka terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kalangan petugas parti.

“Sekiranya bendera ini perlu dialihkan atas sebab keselamatan, maka ia perlu dilakukan di kawasan lain juga dan bukannya hanya terhad di kawasan Pas.

“Tambahan pula, dari apa yang saya tahu, tiada sebarang kemalangan yang membabitkan kecederaan dilaporkan akibat dari pemasangan bendera ini. Jadi  mengapa isu ini perlu dibangkitkan?” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: