26 April 2013

Sempat SMS suami ketika diculik

15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Kepantasan seorang suri rumah yang diculik mencatat nombor plat kereta dan jenis kenderaan lalu menghantar pesanan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya, berjaya membantu polis memberkas penculik tersebut semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa yang berusia 20 tahun itu berhadapan detik cemas apabila diculik sekumpulan Ah Long yang menuntut hutang berjumlah RM500.00 yang dipinjam suaminya.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, wanita itu telah dibawa lari dari rumahnya di Taman Suria Muafakat selama kira - kira dua jam sebelum ditemui selamat pada jam 6.45 petang semalam.

"Polis menerima maklumat daripada suami mangsa yang melaporkan kejadian itu kepada pihak polis selepas menerima SMS daripada isterinya.
 
"Mangsa sempat menghantar SMS kepada suaminya dan memberitahu jenis serta nombor plat kenderaan tersebut minta diselamatkan.

"Mangsa juga telah diugut untuk dibawa lari ke Kuala Lumpur sekiranya suaminya gagal membayar hutang tersebut," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Johor Bahru Selatan sebentar tadi.

Susulan daripada itu, ujar Zainuddin, polis mengeluarkan arahan ke semua pejabat polis daerah untuk mengesan suspek.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan, polis berjaya mengesan kenderaan suspek di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah pukul 6.45 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan polis menjumpai beberapa senjata digunakan untuk menakutkan mangsa seperti rotan, kayu, besi dan buku lima," ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 kerana menculik dan melakukan ugutan serta pemerasan.-KOSMO!


Tiada ulasan: