26 April 2013

'Runner' JPJ maut kena tiga tembakan

15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
'Runner' JPJ maut kena tiga tembakanAnggota forensik memeriksa mayat Ragunathan yang ditembak di luar pejabat JPJ Jalan Seremban-Tampin, semalam. - Foto Hazreen Mohamad
Seremban: Seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah atau runner bagi mengendalikan pelbagai urusan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jalan Seremban-Tampin, di sini, maut ditembak dalam keretanya, semalam.

Dalam kejadian di luar kawasan pejabat JPJ itu, kira-kira jam 9.30 pagi, N Ragunathan, 39, dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal Yamaha 125Z sebelum pembonceng mengeluarkan pistol dan melepaskan tiga das tembakan ke arahnya. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata dalam keadaan parah, mangsa cuba memandu untuk mendapatkan bantuan, namun terbabas kira-kira 40 meter dari tempat kejadian dan mati di situ. 

Tembak kepala, badan

Siasatan mendapati suspek melepaskan tiga das tembakan yang terkena pada kepala dan badan mangsa, katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.

Hamdan berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan pembunuhan seorang ahli perniagaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong berhampiran Taman AST di sini, 12 April lalu.

Modus operandi digunakan suspek dalam kedua-dua kejadian itu mempunyai persamaan dan dipercayai bermotifkan dendam. 
Sementara itu, Hamdan berkata, pihaknya menerima laporan 130 kes pergaduhan membabitkan penyokong parti politik di negeri ini akibat perselisihan faham berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sejak 28 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, katanya polis membuka 46 kertas siasatan dan setakat ini sudah mendakwa tujuh lelaki di Mahkamah Majistret Seremban di sini, Selasa lalu, atas kesalahan bergaduh di tempat awam.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: