03 April 2013

Pas Kedah restu Najmi

22 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PRU13

PRU13
ALOR SETAR - Pas Kedah akur pada keputusan Pusat apabila mengumumkan Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad sebagai calon Parlimen Baling pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), walaupun sebelum ini beliau tidak tersenarai sebagai calon pilihan menggantikan Datuk Taib Azamuddin Md Taib.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, perubahan calon di saat akhir adalah perkara biasa, dan percaya pemilihan itu dibuat setelah Pusat yakin akan kemampuan calon itu untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN).

“Sebelum ini kita cadangkan orang lain di kerusi Baling, nampaknya Pusat ada calon lebih sesuai untuk berdepan calon BN.  Jika mereka (BN) letak calon yang hebat, kita letak calon yang lebih hebat,” katanya, selepas majlis penyerahan sumbangan kepada sekolah-sekolah Tamil, di Dewan Seri Mentaloon, semalam.

Azizan berkata, walaupun Najmi yang juga adik kepada bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad merupakan muka baru dan baru menyertai parti itu, Pas Kedah tiada halangan.

“Kita terima pilihan Pusat. Jika Pusat tiada calon berkaliber, kita akan syorkan calon dari negeri, tetapi jika Pusat sudah ada pilihan, kita terima.

"Saya pasti pilihan Pusat itu adalah lebih baik, dan mungkin lebih baik daripada yang lama,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin akar umbi termasuk Pas kawasan Baling akan merestui pemilihan Najmi sebagai calon kawasan itu, walaupun sebelum ini bersetuju dengan beberapa nama disenaraikan di peringkat negeri.

“Nama yang kita hantar ke Pusat sebelum ini dipersetujui Pas kawasan Baling tetapi berlaku perubahan di saat akhir, kena terima la.

"Saya percaya tiada protes dan semua pihak gembira,” katanya.

Ditanya desas-desus Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dicanang bertanding kerusi Parlimen Pendang, Azizan berkata, ia belum diputuskan di peringkat Pusat.

“Nama beliau belum diumumkan, jadi tak tahu betul atau tidak. Nanti ada pula pertukaran di saat akhir. Setakat ini spekulasi sahaja,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: