12 April 2013

Tiga pelajar kes pukul rakan ditahan polis

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Butterworth: Polis menahan tiga pelajar bagi membantu siasatan insiden memukul seorang pelajar di sebuah sekolah di Seberang Jaya, di sini, yang disebarkan dalam Youtube sejak beberapa hari lalu.


Ketiga-tiga pelajar terbabit, yang berusia 15 tahun ditahan di rumah masing-masing sekitar Seberang Jaya pada kira-kira jam 11 malam kelmarin. 

Lengkapkan siasatan 


Ketua Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata tangkapan itu bagi membolehkan polis mengambil keterangan suspek untuk melengkapkan siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.



Setakat ini, kita sudah merakamkan percakapan lapan orang, termasuk mangsa, pelajar yang merakamkan video pergaduhan itu dan guru sekolah berkenaan. 

Kita akan bebaskan pelajar terbabit jika keterangan, yang diperoleh mencukupi tetapi jika belum cukup (keterangan), kita akan mendapatkan perintah tahanan reman, katanya, di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Jaya, di sini, dibuang sekolah pada 8 Mac lalu selepas didapati bersalah memukul seorang pelajar di sekolah berkenaan pada 4 Mac lalu. 



Pelajar terbabit dikatakan masih dalam proses rayuan terhadap hukuman berkenaan.



Bawa telefon bimbit



Kejadian dikatakan berpunca daripada tiga pelajar tingkatan tiga yang berang dengan tindakan mangsa, yang juga ketua tingkatan mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon bimbit ke sekolah.



Berikutan itu, tiga pelajar terbabit merancang bersama beberapa pelajar lain membelasah mangsa.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: