12 April 2013

Perak dilanda ribut

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Perak dilanda ribut

Mohd Ali hanya mampu melihat bumbung premisnya diterbangkan angin dan melumpuhkan perniagaan butiknya, kelmarin.
BAGAN SERAI - Penduduk Bagan Serai dan Ipoh melalui detik cemas apabila dua daerah berkenaan dilanda ribut, petang kelmarin.

Di Bagan Serai, tujuh kampung di Dun Selinsing dan Dun Gunung Semanggol dilanda  pusaran angin puting beliung yang menyebabkan 60 rumah mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, bumbung 60 rumah di Kampung Kedah, Jalan Banjar, Kampung Parit Haji Taib, Kampung Parit Haji Ali, Kampung Parit Gabis, Kampung Parit Haji Aman, Kampung Parit Ali Kalang, dan Kampung Alur Setangguk rosak diterbangkan angin.

Kampung Parit Gabis mencatatkan paling banyak bilangan rumah terjejas  iaitu melebihi 40 buah dan jumlah keseluruhan kerugian dialami penduduk dianggarkan hampir RM1 juta.

Kejadian itu juga menyaksikan penglibatan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat(PR) yang segera turun padang untuk menyalurkan bantuan serta menyelami penderitaan mangsa ribut.

Siling jatuh berterabur

Seorang penduduk, Norida Zaleha, 49, dari Kampung Parit Gabis berkata, kejadian berlaku ketika dia dan suami sedang berehat di bahagian ruang tamu.

Menurutnya, keadaan ketika itu sangat menggerunkan kerana dalam sekelip mata sahaja puting beliung yang  membawa hujan menerbangkan bumbung menyebabkan semua barang di dalam rumah rosak.

“Saya dan suami sempat keluar menyelamatkan diri kerana ketika kejadian, semua siling jatuh bertaburan,” katanya.

Norida berkata demikian ketika ditemui media selepas dikunjungi Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Bagan Serai, Husin Din yang melawat ke rumah mangsa ribut di Kampung Parit Gabis, semalam.

Ribut berkenaan turut mengejutkan seorang mangsa di Parit Haji Ali, di sini apabila tingkat atas rumahnya rosak teruk.  

Saari Hitam, 57, berkata, dalam kejadian jam 3 petang, dia sedang menadah baldi di bahagian atas rumah kerana  dimasuki air akibat hujan lebat.

"Saya terkejut mendengar bunyi angin yang bertiup begitu kuat dan tidak lama kemudian saya melihat bumbung rumah diangkat beberapa kali.

“Saya seperti terpukau dan sekadar mampu melihat bumbung rumah diterbangkan angin puting beliung berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Sayuti Mohd Saat, 42, berkata, dia melihat gumpalan angin puting beliung itu datang dari arah belakang rumahnya sebelum menuju ke garaj kereta di hadapan kediamannya.

Menurutnya, pada ketika itu, dia dan tiga kawannya memegang tiang garaj kereta tersebut agar tidak  diterbangkan ribut, namun selepas itu mereka bertempiaran lari apabila keadaan mencemaskan.

“Akibatnya, garaj kenderaan tersebut ranap dan menghempas beberapa kereta saya yang berada di bawahnya," katanya.

Sementara itu, di Ipoh pula sebuah butik pakaian dan tiga kedai di Little India, rosak teruk apabila bumbung premis berkenaan diterbangkan ribut, kelmarin.

Pemilik butik, Mohd Ali Abdullah, 35, tergamam apabila hujan lebat yang melanda selama sejam itu menyebabkan dia kerugian lebih RM50,000 termasuk beberapa mesin jahit bernilai ribuan ringgit rosak.

Katanya, kebanyakan material baju yang musnah adalah jenis kain berkualiti tinggi yang diimport dari India dan Pakistan untuk dijadikan Sari.

Kejadian itu juga turut dirasai peniaga Rita Olikh, 37, apabila tiga premis kedainya musnah dan menyebabkan dia kerugian hampir RM60,000.

Parti politik turun padang

Kejadian ribut yang melanda dua daerah itu mendapat perhatian, pihak berkuasa tempatan (PBT) Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) apabila mereka turun padang melawat mangsa yang terlibat.

Di Bagan Serai,  beberapa pihak seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian; Pas kawasan Bagan Serai; Umno bahagian Bagan Serai; Majlis Keselamatan Negara (MKN); Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil membantu mangsa ribut di sana.

Pegawai Daerah Kerian, Kamaruddin Awang berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati hampir sebahagian rumah mengalami masalah bumbung diterbangkan ribut, manakala sebilangannya didapati rosak teruk dan tidak selamat untuk diduduki.

Katanya, melalui Tabung Bantuan Bencana Daerah Kerian, pihak akan akan menyampaikan sumbangan tunai segera berjumlah antara RM200 hingga RM500 kepada mangsa ribut mengikut kerosakan rumah masing-masing.

“Manakala bantuan baik pulih dan bina baru kediaman akan dipertimbangkan bagi mengenal pasti rumah yang terjejas teruk,” katanya sewaktu ditemui media selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa terlibat di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha; Timbalan Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat; Setiausaha Umno bahagian, Zulkarnain Ismail dan Ketua Pemuda Umno bahagian, Sharudin Ahmad.

Zaili ketika ditemui menegaskan Umno bahagian Bagan Serai turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bantuan makanan kepada kesemua mangsa terlibat.

“Selain itu, kita akan mempertimbangkan permohonan baik pulih beberapa rumah mangsa ribut yang didapati mengalami kerosakan teruk kepada beberapa agensi kerajaan bagi mengurangkan beban dihadapi mereka,” katanya.

Sementara itu, di Ipoh pula, Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Abdul Rahim Mat Ariff berkata, kerja-kerja pembersihan melibatkan serpihan atap yang bertebaran dilakukan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Sinar/-

Tiada ulasan: