12 April 2013

Calon PAS sedia berdebat isu masa depan OKU

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: “Atas dasar keprihatinan itulah saya merasa terpanggil untuk menawarkan diri berbincang, berbahas dan berdialog antara saya selaku calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Mohammad Faizal mewakili OKU Bangkit serta calon Umno khususnya di Parlimen Titiwangsa,” ujar Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.

Bahkan calon PAS P119 Parlimen Titiwangsa pada PRU13 itu bersedia untuk bertemu dan bersemuka dengan mana-mana pemimpin Umno bersama Mohammad Faizal Che Yusof bagi membuktikan masa depan orang kelainan upaya (OKU) bersama PR lebih terjamin berbanding kehidupan mereka selama ini di bawah BN.

Berikut kenyataan penuh beliau.

1. Susulan daripada berita yang disiarkan oleh media melalui akhbar The Sun yang bertajuk “The disabled want debate on their rights” pada hari semalam oleh Mohammad Faizal Che Yusof yang mencadangkan suatu debat dilakukan antara calon Pakatan Rakyat bersama calon Barisan Nasional mengenai nasib dan masa depan Orang Kelainan Upaya (OKU).

2. Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Mohammad Faizal Che Yusof itu. Beliau mengemukakan keluhan bagaimana layanan dan nasib yang diterima oleh OKU di seluruh negara di bawah pemerintahan Barisan Nasional selama ini. Lebih-lebih lagi keadaan yang mendesak ketika ini, dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, masalah pengangguran, ekonomi yang menjerat rakyat, kadar kemiskinan terutama di kawasan bandar semakin meningkat, adalah wajar OKU membangkitkan kebimbangan mereka apatah lagi menjelang pilihan raya umum ke 13. Dianggarkan seramai 2.8 juta atau 10% rakyat Malaysia yang mengalami OKU pelbagai kategori. Sama ada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, mampukah mana-mana pemenang PRU ke 13 kelak membela nasib dan mengangkat martabat OKU, ia perlu diketahui dan diperjelaskan terhadap seluruh rakyat.

3. Sdr Mohammad Faizal telah mencadangkan debat memandangkan keluhan dan rintihan selama ini tidak pernah dilayan, didengari atau diambil perhatian. Kehidupan OKU masih lagi di takuk lama, bahkan kebanyakan OKU dipandang remeh oleh masyarakat seolah-olah mereka ini adalah golongan kelas kedua yang terpaksa menagih simpati dan berharap belas ihsan masyarakat hidup. Kerajaan BN pula tidak memandang golongan ini dengan perhatian utama dengan membiarkan golongan ini terkial-kial hidup dalam masyarakat sehingga ada kalangan mereka yang tersisih daripada pembangunan.

4. Pakatan Rakyat telah melancarkan manifesto pada 25 Februari 2013 dan menekankan pelbagai aspek untuk diberi perhatian dan OKU antara salah satu daripadanya. PR melihat OKU adalah golongan rakyat yang mesti diberi perhatian sewajarnya. Sebagai kerajaan menanti (in waiting government) PR berazam dan berikhtiar membantu OKU sedaya upaya supaya golongan ini mempunyai kedudukan dan hak setaraf insan sempuna.

5. PR berazam memastikan setiap golongan OKU dibantu, diberi perhatian, pendidikan yang mencukupi dan meliputi pelbagai kecacatan yang mereka alami, diberi sumbangan sejajar dengan keperluan dan taraf hidup mereka, memberikan pekerjaan sesuai dengan kemampuan mereka, kemudahan perumahan dan lain-lain.

6. Atas dasar keprihatinan itulah saya merasa terpanggil untuk menawarkan diri berbincang, berbahas dan berdialog antara saya selaku calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Sdr Mohammad Faizal mewakili OKU Bangkit serta calon UMNO khususnya di Parlimen Titiwangsa. Bahkan saya bersedia untuk bertemu dan bersemuka dengan mana-mana pemimpin UMNO bersama sdr Faizal bagi membuktikan masa depan OKU bersama PR lebih terjamin berbanding kehidupan mereka selama ini di bawah BN. Saya menyerahkan kepada saudara Faizal untuk menetapkan tarikh, masa dan tempat perdebatan ini dilangsungkan. Saya juga mengharapkan respons yang positif dari pemimpin UMNO khususnya calon UMNO Titiwangsa supaya mereka mampu menjelaskan apakah masa depan yang akan mereka tawarkan kepada rakyat terutama kepada golongan OKU.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: