12 April 2013

Hakim masih diulit rasuah

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Jakarta: Kajian terbaru menunjukkan institusi kehakiman Indonesia masih terbabit dengan kegiatan rasuah walaupun usaha untuk meningkatkan pendapatan pegawainya sudah dilaksana.

Kumpulan pemerhati institusi berkenaan, Meja Bulat Undang-Undang Indonesia (ILR) semalam mendedahkan apa yang dinamakannya Indeks Tanggapan Undang-Undang 2012.

Antara isu utama yang ditonjolkan menerusi kaji selidik itu ialah 60 peratus responden percaya hakim negara itu mudah dirasuah. Dua puluh tiga peratus pula percaya sebaliknya.
Untuk kaji selidik itu, ILR mewawancara 1,200 responden di 33 wilayah negara itu antara 4 hingga 16 Disember tahun lalu.

Peguam terkenal, Todung Mulya Lubis dari ILR berkata, hasil kajian itu menunjukkan institusi kehakiman Indonesia masih kekal sebagai antara institusi yang paling lemah di negara itu.

“Dengan begitu banyak kes rasuah membabitkan hakim, tidak hairanlah hanya 23 peratus responden percaya hakim tidak boleh dirasuah,” katanya.
Beliau juga memberitahu, 47 peratus responden tidak melihat institusi kehakiman sebagai bebas apabila membicarakan kes di mahkamah.

Tiga puluh dua peratus responden menunjukkan mereka percaya ahli perniagaan boleh dengan mudah mempengaruhi hakim dan 30 peratus berpendapat parti politik juga mempunyai pengaruh terhadap hakim.
Responden turut percaya anggota kehakiman memperoleh pendapatan lumayan dan sekali gus membolehkan mereka bersikap berkecuali dan bebas.

“Lebih 57 peratus responden beranggapan gaji hakim lebih daripada cukup,” kata Todung.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Mahkamah Daerah Bandung, Setyabudi Tejocahyono ditangkap oleh penyiasat Suruhanjaya Penghapusan Rasuah (KPK) kerana didakwa menerima rasuah berjumlah Rp150 juta (RM47,000) yang dibayar oleh seorang defendan dalam kes penggelapan wang. Sepanjang tempoh 11 bulan memegang jawatan itu, Setyabudi menguruskan sejumlah kes besar rasuah.

Suruhanjaya Kehakiman berkata, rasuah dalam institusi kehakiman, khususnya selepas kenaikan gaji untuk hakim, sepatutnya tidak lagi wujud. - Jakarta Post

Tiada ulasan: