12 April 2013

Isyarat Mahathir, Kit Siang menang di Gelang Patah

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Nampaknya bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sudah memberikan isyarat Lim Kit Siang (LKS) akan menang di Gelang Patah.

Bagi penulis politik Aspan Alias, Mahathir amat takut untuk menghadapi kekalahan itu dan beliau terus mahukan semua rakyat merasa takut seperti apa yang dirasakan.

“Tuduhan beliau yang malapetaka akan terjadi jika LKS menang itu adalah bayangan ketakutan beliau. Kadangkala semakin lama hidup semakin lemah pemikiran kita ini,” tulis beliau di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com sebagaimana di bawah.

Dr Mahathir, semakin hampir pilihanraya semakin merapu perlakuannya. Semakin hampir hari rakyat membuat penentuan masa depan mereka Mahathir meningkatkan lontaran kenyataan-kenyataan berlandaskan kepada sentimen perkauman dan tidak mempedulikan sama ada kata-katanya itu dihormati atau dipandang hina oleh rakyat yang inginkan kehidupan yang muhibbah di antara kaum di negara ini.

Isu Lim Kit Siang (LKS) bertanding di kawasan majoriti Cina di Gelang Patah membuatkan Mahathir tidak menentu dan beliau menunjukkan sikap beliau yang sebenarnya. Seperti biasa beliau menggunakan isu perkauman yang tidak terkira bahayanya kepada rakyat dan negara. Walaupun rakyat sekarang tidak ramai lagi menghiraukan pandangannya tetapi yang penting kita telah dapat mengenali Mahathir dengan lebih dalam lagi.

Beliau menuduh yang kemenangan LKS di Gelang Patah itu akan melenyapkan kerjasama ekonomi di antara orang Melayu dan Cina dan akan meningkatnya pertelingkahan di antara kaum selepas ini. Katanya lagi pergaduhan di antara kaum akan terjadi jika BN dikalahkan oleh LKS di Gelang Patah nanti dan berbagai-bagai lagi yang saya sudah malas untuk menyebutnya.

Nampaknya Dr Mahathir sudah memberikan isyarat yang LKS akan menang di Gelang Patah. Beliau amat takut untuk menghadapi kekalahan itu dan beliau terus mahukan semua rakyat merasa takut seperti apa yang beliau rasakan. Tuduhan beliau yang malapetaka akan terjadi jika LKS menang itu adalah bayangan ketakutan beliau. Kadangkala semakin lama hidup semakin lemah pemikiran kita ini.

Begitu jugalah dengan Mahathir. Kenapa beliau terlalu takut itu, beliau sahajalah yang tahu. Tetapi sedikit sebanyak ramai rakyat tahu kenapa beliau begitu runsing jika LKS menang di Gelang Patah. Seboleh-bolehnya Mahathir mahu semua rakyat merasa takut seperti beliau. Seperti yang kita tahu, taktik menakut-nakutkan rakyat adalah taktik yang sudah dijangkakan.

Mahathir begitu takut dengan kerjasama di antara kaum dalam Pakatan Rakyat yang sedang meningkat itu. Permuafakatan di antara kaum dalam Pakatan sekarang ini telah membuktikan yang apa yang diisukan oleh Mahathir dan pimpinan UMNO selama ini sebenarnya merupakan isu yang remeh dan jika LKS dan Pakatan memenangi pilihanraya kali ini, orang seperti Mahathir yang mahukan rakyat berpecah untuk kepentingan UMNO itu tidak akan berjaya. Rakyat semakin hari semakin yakin yang Pakatanlah yang telah menampakkan kejayaan untuk membina kehidupan rakyat yang lebih baik dan muhibbah.

Jika LKS menang niat Mahathir dan UMNO untuk melihat pertelingkahan dalam hati sesama kita rakyat Malaysia berterusan akan gagal. Rakyat sedar yang pertelingkahan kaum jika berjaya dilanjutkan oleh pemimpin di negara ini, maka mereka dalam UMNO dan BN itu akan dapat mengekalkan kuasa dengan lebih lama lagi.

Itu sahaja sebenarnya kenapa Dr Mahathir semakin hari semakin giat untuk melihat perpecahan di antara kita berlaku.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: