15 Ogos 2021

11 kegiatan ekonomi dibenar kembali beroperasi esok

 Pekerja pusat cuci kereta di Subang, membersih kereta pada waktu petang. - Foto  NSTP/OSMAN ADNAN

Pekerja pusat cuci kereta di Subang, membersih kereta pada waktu petang. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran operasi untuk 11 aktiviti ekonomi bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dalam sektor perdagangan dan pengedaran, berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri berkata, 11 kegiatan ekonomi sektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi di negeri Fasa 1 ialah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barang rumah dan peralatan dapur, kedai perabot dan kedai peralatan sukan.

Selain itu, katanya, turut dibenarkan beroperasi ialah kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Beliau berkata, kemudahan diumumkan itu boleh dilaksanakan di negeri Fasa 1 dan Fasa 2, dengan syarat vaksinasi lengkap penduduk dewasa di negeri berkenaan sudah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.

Selain itu, katanya, individu yang ingin memanfaatkan kemudahan yang diumumkan itu juga mestilah sudah menerima vaksinasi lengkap.

"Bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan, terdapat prosedur operasi standard (SOP) kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi.

"Ini termasuklah memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan di antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan bilik persalinan.

"SOP ini mungkin merumitkan tetapi ini demi keselamatan pekerja dan pelanggan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan yang boleh beroperasi semula itu juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis, menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19, bagi membuktikan mereka sudah menerima pelalian lengkap.

"Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos," katanya.

Tiada ulasan: