15 Ogos 2021

Arab Saudi rancang benarkan 120,000 tunai umrah sehari

- Foto AFP
- Foto AFP

RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga mencecah 120,000 orang sehari, berbanding 60,000 orang ketika ini.

Setiausaha kementerian, Abdulaziz Wazan dalam wawancara di televisyen kelmarin berkata terdapat langkah segera untuk meningkatkan kapasiti umrah harian kepada 90,000 jemaah sebelum dinaikkan menjadi 120,000 jemaah dan ia akan dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak yang kompeten.

Memetik laporan Saudi Gazette, Al Wazan menjangkakan negara itu bakal menerima ramai jemaah umrah tahun ini.

Beliau berkata, kebenaran umrah dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi meliputi solat di Masjidil Haram di Makkah, mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah dan bersolat di Al Rawda Al Sharifa di sana.

 "Syarikat Arab Saudi yang menawarkan perkhidmatan kepada jemaah umrah bersiap sedia memberikan kualiti perkhidmatan terbaik," katanya.

Arab Saudi mula menerima permohonan umrah dari luar negara untuk jemaah yang divaksin pada 9 Ogos lalu.

Sementara itu Direktorat Jeneral Pasport Arab Saudi (Jazawat) selesai melakukan persiapan termasuk aspek teknikal bagi menerima dan menyediakan perkhidmatan diperlukan jemaah umrah dari luar negara.

Direktorat Pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah diarah bersedia menerima penerbangan pertama membawa jemaah asing dijadualkan semalam selain bersedia memproses kemasukan ke negara itu dengan lancar sesuai dengan langkah pencegahan mengekang penularan COVID-19.

Pada musim haji lalu, Arab Saudi memberi kebenaran kepada 60,000 penduduk negara itu yang divaksin.

Kebenaran itu terpakai kepada warga negara dan penduduk negara lain yang berada di Arab Saudi berusia antara 18 hingga 65 tahun dan bebas daripada penyakit kronik. - AGENSI

Tiada ulasan: