KUALA LUMPUR: Selepas membuat kemunculan pertama pada 1970, kenderaan utiliti sukan (SUV) paling dinantikan, model ikonik Suzuki Jimny kembali ke pasaran Malaysia.
Dibawa masuk oleh Naza Eastern Motors Sdn Bhd, Suzuki Jimny generasi ke-4 yang tampil dengan elemen reka bentuk yang diwarisi generasi terdahulu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) RM168,900.
Suzuki Jimny serba baharu yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu didatangkan dengan enjin petrol 1.5L dengan transmisi automatik 4-kelajuan.
Dengan trenkuasa yang dimiliki, SUV itu mampu menghasilkan tork tinggi dengan julat yang meluas untuk pemanduan bandar yang cekap dan prestasi off-road yang hebat.
Pemacu model ini dihantar ke roda belakang atau sistem empat roda (4WD) menerusi 'ALLGRIP PRO', yang menampilkan pacuan 4WD yang boleh dipilih dengan pemindahan jarak rendah termasuk fungsi menurun bukit dan hill-hold.
Keperluan lain yang digabungkan dalam Suzuki Jimny untuk keseronokan pemanduan off-road termasuk kerangka 'ladder', suspensi gandar 3-pautan dengan gegelung spring, jarak ke tanah 210 milimeter (mm) yang tinggi dan tiga sudut pelepasan yang sangat baik.
Dengan berat hanya 1,095 kilogram (kg), ia melengkapkan Suzuki Jimny dengan kemampuan off-road sambil menawarkan kecekapan bahan api yang tinggi.
Menjengah ke dalam kabin, bahagian dalaman mengekalkan konfigurasi 4-tempat duduk klasik dengan tempat duduk depan lebih lebar untuk sokongan lebih baik, selain ruang kepala serta kaki yang lebih baik.
Aspek keselamatan pula menyaksikan Suzuki Jimny mendapat naik taraf berdasarkan konsep Suzuki's Total Effective Control Technology (TECT), di mana badannya disusun khas untuk menyerap hentakan dengan berkesan sekiranya berlaku pelanggaran dan mengurangkan kecederaan pejalan kaki.
Kestabilan Suzuki Jimny juga dikawal oleh Program Kestabilan Elektroniknya (ESP) di mana tork dan brek enjin secara automatik disesuaikan untuk menekan slip roda untuk membantu pemandu mengawal kenderaan dalam keadaan jalan yang licin untuk memberikan keseronokan pemanduan off-road.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Sdn Bhd, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan, berkata Suzuki Jimny menjadi ikon bagi pencinta 4WD dan SUV di seluruh dunia.
"Setakat ini minat yang diberikan untuk model ini sangat tinggi sebelum ia dilancarkan hari ini. Kami yakin varian tertinggi Suzuki Jimny akan memikat hari peminatnya di Malaysia," katanya.
SUV itu hadir dengan pilihan empat warna berbeza iaitu Kinetic Yellow & Bluish Black Pearl 3, Jungle Green, Medium Grey dan Bluish Black Pearl 3.
Peminat Suzuki Jimny boleh melawat bilik pameran Suzuki 3S di Naza Automall, Petaling Jaya untuk melihat dengan lebih dekat model itu.
Penampilan Suzuki Jimny adalah yang kedua bagi jenama itu selepas hot-hatch, Suzuki Swift Sport setelah Naza Eastern Motors dilantik sebagai pengedar baharu jenama itu di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan