PETALING JAYA – Agrobank sedia untuk memacu pelan pemulihan sosio-ekonomi dan pertumbuhan negara dalam sektor pertanian serta jaminan bekalan makanan menerusi pelan strategik lima tahunnya, SBP 2021-2025.
Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pertanian kekal sebagai salah satu daripada enjin utama pertumbuhan negara daripada perspektif ekonomi dan pembangunan sosial.
“Adalah menjadi mandat kami sejak penubuhan Agrobank pada tahun 1969 untuk menyokong kerajaan membangunkan sektor pertanian dan kami percaya dalam usaha mencapai visi ‘Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan,’ masih banyak yang harus dilakukan untuk menyokong komuniti agro khususnya golongan yang kurang mendapat perhatian dan terpinggir.
“Covid-19 telah mendekatkan Agrobank kepada pelanggan, menjadikan kami lebih fokus dalam memahami keperluan kritikal mereka dan tempoh yang sukar ini.
“Pandemik secara ketara telah mengubah beberapa trend sedia ada, khususnya dalam penggunaan digital dan kami telah menyusun banyak pelan menarik bagi menyokong pemulihan jangka masa panjang sektor ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Khadijah, SBP 2021-2025 memiliki empat bidang fokus utama iaitu pembangunan pertanian secara mapan, fokus pelanggan inklusif, model perniagaan yang transformatif, serta keadaan kewangan lestari.
Sementara dalam menyokong pemulihan pasca Covid-19, Agrobank terus memainkan peranannya menerusi pengagihan pakej-pakej rangsangan kerajaan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi, Kemudahan Bantuan Khas dan bantuan bersasar lain.
“Sehingga kini, kami telah mengagihkan pelbagai jenis dana rangsangan, termasuk di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Bank Negara Malaysia yang berjumlah kira-kira RM924 juta serta telah memanfaatkan 14,824 pelanggan kami di seluruh negara.
“Agrobank akan terus memainkan peranan penting dalam menawarkan program-program pembiayaan pada kadar rendah dan terma akomodatif lain bagi menangani gangguan dalam rantaian bekalan.
“Pencapaian pertumbuhan bulan ke bulan Agrobank kekal kukuh pada lima peratus, berbanding kadar pertumbuhan industri sebanyak tiga peratus sepanjang tempoh pandemik,” jelasnya.
hkosmo/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan