30 September 2021

PN bincang pembahagian kerusi tanpa BN, kata Muhyiddin

 

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini.

KUALA LUMPUR: Parti komponen Perikatan Nasional (PN) mencapai konsensus untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dengan segera tanpa Barisan Nasional, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, ini kerana tiada isyarat daripada Umno dan BN mengenai hala tuju kerjasama gabungan itu.

“Jika kita tunggu parti lain ia akan mengganggu perancangan kita.

“Setakat apa yang kita maklum, kita akan selesaikan pembahagian kerusi antara parti komponen PN sahaja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Parti komponen yang turut hadir adalah Bersatu, PAS, STAR, SAPP dan Gerakan.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, parti komponen PN menyokong penuh Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September, dan akan memainkan peranan aktif dalam menyampaikan pandangan serta pendirian dari semasa ke semasa.

“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk saya sebagai Pengerusi PN bagi menyampaikan pendirian yang telah diambil oleh PN berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan bekas setiausaha politik beliau ketika menjadi Perdana Menteri, Saiful Adli Mohd Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa 1 Oktober.

Sementara pelancaran rasmi PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November dengan Selangor sebagai tuan rumah.

FMT/-

Tiada ulasan: