KUALA LUMPUR: Polis akan mengurangkan jumlah sekatan jalan raya (SJR) statik dan bergerak menjelang tengah malam ini susulan pengumuman kerajaan mengenai peralihan fasa dua kepada tiga membabitkan sebahagian negeri dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Penolong Pengarah Gerakan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Asisten Komisioner Ignatius Francis, berkata pengurangan SJR itu akan dilakukan secara berperingkat di seluruh negara dengan hanya berbaki 449 lokasi pemeriksaan.
Beliau berkata, secara keseluruhannya baki SJR yang akan kekal adalah sebanyak 309 SJR statik, manakala 140 lagi bergerak.
"Semua SJR ini masih kekal di lokasi pergerakan rentas negeri dan negeri yang masih kekal berada dalam kategori fasa dua PPN.
"Susulan pengurangan SJR ini juga, polis akan memperluaskan lagi skop operasi Pasukan Pematuhan dan Pemantauan yang menjalankan pemeriksaan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penutupan beberapa lokasi utama SJR, terutama lokasi sebelum memasuki Plaza Tol Sungai Besi dan laluan bertentangan menghala ke ibu negara serta beberapa lokasi lain di seluruh negara bagi mengelakkan kesesakan di jalan raya.
Ignatius berkata, polis melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) juga sedang meneliti keberkesanan SJR yang semakin berkurangan itu sebelum melakukan penambahbaikan lain bergantung kepada situasi dan keadaan semasa.
"Kita lihat bagaimana hasil dan perbezaannya berbanding sebelum ini sebelum sesuatu perancangan baharu dilakukan," katanya.
"Polis juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat dan pengguna jalan raya yang memberikan kerjasama amat baik terhadap petugas terdiri daripada pegawai dan anggota polis demi membantu kelancaran pergerakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu sehingga hari ini," katanya.
bharian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan