30 September 2021

Sia-sia 20 tahun berperang di Afghanistan

 

PENDUDUK Afghanistan menaiki Boeing C-17 milik tentera udara AS semasa proses pemindahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Ogos lalu. – AFP

WASHINGTON: Seorang pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) menyifatkan peperangan selama 20 tahun di Afghanistan sebagai ‘kegagalan strategi’ semata-mata.

Pengerusi Ketua Staf Bersama AS, Jeneral Mark Milley mengaku beliau menyokong tindakan mengekalkan ribuan anggota tentera di negara tersebut untuk mengelakkan kejatuhan kerajaan Kabul disokong AS dan pengambilalihan oleh kumpulan Taliban.

Milley memaklumkan perkara itu dalam sidang Jawatankuasa Perkhidmatan Ketenteraan Senat yang berlangsung selama enam jam berhubung pengunduran AS dari Afghanistan.

Pada sidang itu, beberapa anggota Parti Republik menyifatkan keterangan Milley sebagai bukti Presiden AS, Joe Biden tidak bercakap benar berhubung isu mengekalkan tentera AS di Afghanistan.

Bulan lalu, Biden menerusi satu temubual televisyen menegaskan tentera AS tidak pernah mendesaknya untuk mengekalkan anggota tentera di Afghanistan.

Miley bagaimanapun enggan mendedahkan nasihat diberikan kepada Biden beberapa bulan lalu.

Setiausaha Pertahanan AS, Lyold Austin yang turut memberi keterangan dalam sidang itu juga, enggan mendedahkan nasihat diberikan kepada Biden.

Menurut Milley, ia merupakan pandangan peribadinya mengenai sekurang-kurangnya 2,500 anggota tentera AS diperlukan untuk mengelak kejatuhan kerajaan Kabul dan pemerintahan semula kumpulan
Taliban.

Jeneral Frank McKenzie yang merupakan Ketua Komando Pusat memantau tentera AS di Afghanistan, senada dengan pandangan Milley dengan menegaskan langkah itu mungkin dapat mengekalkan pemerintahan Kabul.

“Saya mencadangkan kita mengekalkan 2,500 tentera di Afghanistan dan saya juga mengesyorkan pada awal tahun lalu untuk mempunyai 4,500 anggota. Ini adalah pendapat peribadi saya.

“Saya juga berpandangan penarikan tentera AS hanya akan menyebabkan kehancuran pasukan tentera Afghanistan dan akhirnya kerajaan negara itu,” katanya.

April lalu, Biden mengarahkan pengunduran keseluruhan tentera AS dari Afghanistan menjelang 31 Ogos susulan persetujuan yang dicapai dengan Taliban oleh bekas presiden, Donald Trump.

Setiausaha akhbar White House, Jen Psaki berkata, Biden menerima nasihat berbeza mengenai apa yang perlu dilakukan di Afghanistan selepas AS menguasai negara itu susulan serangan 11 September.

“Pada akhirnya, ia terserah kepada ketua komandan untuk membuat keputusan,” kata Psaki.

Mengulas mengenai peperangan yang mengorbankan 2,461 nyawa rakyat AS, Milley berkata, kesannya akan berlarutan jangka masa panjang.

“Hasil dalam peperangan seperti ini merupakan kegagalan strategi. Musuh sudah menawan Kabul dan tiada perkataan yang boleh menggambarkannya. Itu adalah kesan terkumpul selama 20 tahun,”katanya.

TALIBAN GUNA PERLEMBAGAAN 1964

Taliban memaklumkan pihaknya akan menguna pakai Perlembagaan 1964 secara sementara yang memberikan hak mengundi kepada golongan wanita.

Pemangku Menteri Keadilan, Mawlavi Abdul Hakim Sharaee berkata, pihaknya merancang memperkenalkan Perlembagaan digunakan ketika era demokrasi Afghanistan, namun akan melalui beberapa pindaan.

“Emiriah Islam akan mengguna pakai Perlembagaan semasa pemerintahan Raja Mohammad Zahir Shah untuk sementara waktu.

“Namun, sebarang kandungan dalam Perlembagaan itu yang didapati bertentangan dengan undang-undang Islam dan prinsip Taliban akan dipinda,” katanya.

Hampir enam dekad lalu sebelum kuasa besar menceroboh Afghanistan, negara itu berada di bawah pemerintahan Raja Mohammad Zahir Shah untuk tempoh yang singkat.

Raja Mohammad Zahir Shah meratifikasi Perlembagaan itu setahun selepas memegang tampuk pemerintahan 1963 dan memerintah Afghanistan secara demokrasi selama hampir sedekad sebelum digulingkan 1973.

Perlembagaan itu antara lain memberikan hak mengundi kepada wanita buat pertama kali dan membuka pintu penyertaan golongan tersebut dalam bidang politik. – AP/AFP

Tiada ulasan: