27 Oktober 2021

50 rakyat Malaysia di Sudan selamat

 PUTRAJAYA 30 SEPTEMBER 2019. Bangunan Kementerian Luar Negeri. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PUTRAJAYA 30 SEPTEMBER 2019. Bangunan Kementerian Luar Negeri. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KUALA LUMPUR: Seramai 50 rakyat Malaysia termasuk 25 pelajar berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Sudan, dilaporkan selamat susulan penggulingan bekas pemimpin negara itu, Omar al-Bashir dan demonstrasi yang berlarutan.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, pegawai kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan mereka, selain mengambil inisiatif untuk menempatkan secara sementara 17 rakyat Malaysia dan seorang kakitangan Petronas warga Thailand di kediaman rasmi Duta Besar.

"Kementerian sentiasa berhubung dengan kedutaan berkenaan dan terus memantau rapat perkembangan terkini termasuk demonstrasi berlarutan seluruh negara itu.

"Kedutaan juga menasihatkan rakyat Malaysia yang lain untuk mengutamakan keselamatan mereka," katanya.

Rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular di Sudan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum menerusi talian +249 99 070 0350, e-mel mwkhartoum@kln.gov.my, @Malawakil.Khartoum (Facebook) dan @MYEmbKhartoum (Twitter).

Mereka juga boleh menghubungi Wisma Putra di 03-88874201/4530 pada waktu pejabat dan 03-88874570 selepas waktu pejabat.

Menurut laporan media Daily Sabah pada 5 Oktober lalu, kerajaan peralihan Sudan berhasrat merampas aset milik PETRONAS yang didakwa diperoleh secara tidak sah ketika pemerintahan Omar.

Susulan penggulingan Omar, kerajaan peralihan itu bertindak meluluskan undang-undang dan membentuk Jawatankuasa Pemerkasaan Penyingkiran, Anti-Rasuah dan Pengambilan Semula Wang yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti semula perjanjian serta mendapatkan semula aset didakwa diperoleh secara tidak sah bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Media itu melaporkan, tanah yang menempatkan Kompleks PETRONAS Sudan (PSC) diperoleh serta didaftarkan bawah Nada Properties Co Ltd (NPCL) yang juga anak syarikat PETRONAS di Sudan.

Bagaimanapun, Sudan bertindak memindahkan pemilikan NPCL kepada Kementerian Kewangan negara berkenaan dan menafikan hak PETRONAS sebagai pemilik sah syarikat itu.

Pergolakan terus meruncing di Sudan apabila tentera didakwa melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan di ibu kota Khartoum, sehingga tiga mangsa dilaporkan maut, kelmarin.

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan mengumumkan perintah darurat dan membubarkan kerajaan, selepas tentera menahan pemimpin awam yang menerajui peralihan kepada pemerintahan awam sepenuhnya susulan penggulingan Omar.

Sementara itu, Kesatuan Eropah, Kesatuan Afrika dan Liga Arab turut menzahirkan kebimbangan atas kemelut berkenaan.

Amerika Syarikat (AS) yang juga penyokong utama kepada usaha kerajaan peralihan di Sudan pula menegaskan, pihaknya sudah menggantung penyaluran bantuan AS$700 juta.

bharian.

Tiada ulasan: