27 Oktober 2021

Kebolehjangkitan meningkat selepas rentas negeri

 Kadar kebolehjangkitan COVID-19 meningkat selepas dua minggu kebenaran merentas negeri. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 meningkat selepas dua minggu kebenaran merentas negeri. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 menunjukkan trend peningkatan sejak lima hari lalu, kira-kira dua minggu selepas kerajaan memberi kebenaran rentas negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata nilai Rt pada jangkaan mengikut kes harian untuk seluruh negara ialah 0.91, semalam.

Nilai itu melonjak berbanding 0.86 pada Khamis lalu, sebelum meningkat kepada 0.87 pada Jumaat, 0.88 (Ahad) dan 0.89 (Isnin).

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham di Twitter menunjukkan enam negeri dan wilayah mencatatkan nilai Rt melebihi purata kebangsaan semalam, dengan dua daripadanya melebihi 1.0.

Rt tertinggi dicatatkan oleh Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dengan masing-masing 1.02, disusuli Melaka (0.99), Putrajaya (0.96), Selangor (0.95) dan Sabah (0.93).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri di seluruh negara kepada individu lengkap divaksin, bermula 11 Oktober lalu.

Bagaimanapun, portal COVIDNOW menunjukkan jumlah kes harian COVID-19 dan kemasukan ke hospital serta jumlah pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), secara purata masih mencatatkan trend penurunan.

Kadar penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 di seluruh negara ketika ini 68.8 peratus, namun 10 negeri dan wilayah masih mencatat kadar kemasukan ke hospital melebihi 70 peratus.

Antaranya Kelantan yang mencatat kadar penggunaan katil sebanyak 83.8 peratus dengan kadar kemasukan pesakit harian berjumlah 128, manakala Johor mencatat 71.4 peratus dengan kadar kemasukan pesakit harian berjumlah 192.

Selangor pula mencatat 71.4 peratus kadar penggunaan katil dengan kadar kemasukan pesakit harian sekitar 349.

Dalam pada itu, portal COVIDNOW menunjukkan sebanyak 84 kematian direkodkan semalam, dengan 20 daripadanya kematian di luar hospital.

bharian.

Tiada ulasan: