27 Oktober 2021

Thailand buka semula kemasukan pelancong 1 November

 (Gambar fail - hiasan) Pelancong di Pulau Phuket, Thailand. - FOTO AFP

(Gambar fail - hiasan) Pelancong di Pulau Phuket, Thailand. - FOTO AFP

BANGKOK: Thailand bersiap siaga untuk membuka semula kemasukan pelancong yang lengkap vaksinasi, bermula 1 November ini, selepas melaksanakan sekatan perjalanan selama 18 bulan susulan pandemik COVID-19.

Pandemik itu mengakibatkan jumlah pelancong merudum daripada 40 juta pada 2019, kepada hanya 73,000 orang sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Pihak berkuasa berusaha memulihkan sektor itu - yang menyumbang satu per lima daripada ekonomi - meskipun Thailand masih merekodkan angka harian kira-kira 10,000 jangkitan COVID-19 serta kadar vaksinasi kira-kira 40 peratus.

Justeru, kerajaan berharap perancangan untuk membatalkan peraturan kuarantin yang ketat, dapat menarik kehadiran pelancong walaupun virus itu masih menular.

"Kami menjangkakan industri pelancongan akan kembali pulih ke paras normal sekitar pertengahan tahun depan," kata jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok, Pongsakorn Kwanmuang.

Pihak berkuasa memaklumkan, Thailand menjangka sekurang-kurang sejuta pelancong berkunjung ke negara ini menjelang Mac tahun depan, dan menjana pendapatan kira-kira AS$30 bilion sepanjang 2022.

Sebelum ini Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, mengumumkan pelan berfasa untuk pembukaan semula Thailand.

Bermula 1 November ini, pelancong lengkap vaksinasi dari lebih 40 negara 'berisiko rendah', dibenarkan memasuki Thailand dengan keputusan negatif COVID-19, namun akan menjalani saringan sekali lagi sebaik saja tiba.

Senarai terbabit meliputi sejumlah negara Eropah, China dan Amerika Syarikat (AS).

Peringkat kedua pembukaan semula dijadualkan pada 1 Disember depan pula ialah untuk menamatkan larangan minuman keras di bar dan restoran yang dikenakan sejak tujuh bulan lalu. - AFP

Tiada ulasan: