27 Oktober 2021

Polis masih buru pembunuh Nurin Jazlin walaupun 14 tahun berlalu

 Nurin dilaporkan hilang sejak 2007.

Nurin dilaporkan hilang sejak 2007.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menutup kertas siasatan kes pembunuhan kejam seorang kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang menggemparkan negara dalam kejadian 14 tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata siasatan terhadap kes itu masih aktif dan diteruskan hingga kini.

Beliau berkata, polis meneruskan usaha mencari petunjuk baharu berkaitan kes itu, namun buat masa ini tiada pemadanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) suspek ditemui.

"Kes berkenaan masih aktif dan tidak pernah ditutup oleh PDRM.

"Usaha mencari petunjuk baharu bagi kes berkenaan masih lagi diteruskan.

"Sehingga kini, tiada padanan DNA suspek ditemui bagi kes berkenaan," katanya menerusi kenyataan kepada Harian Metro, semalam

Gambar kenangan Nurin (kiri) bersama kakak dan adiknya. - Foto arkib NSTP
Gambar kenangan Nurin (kiri) bersama kakak dan adiknya. - Foto arkib NSTP

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, berkata, laporan polis terbaharu oleh bapa mangsa, Jazimin Abdul Jalil, 47, akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

"Akan saya panjangkan kepada CPO KL (Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim) untuk tindakan lanjut," katanya ringkas menerusi WhatsApp berhubung laporan polis dibuat Jazimin itu.

Berdasarkan laporan polis bertarikh 4 Jun lalu di Balai Polis Wangsa Maju (kes kemudian dirujuk ke Balai Polis Setapak) yang dilakukan Jazimin dan dilihat Harian Metro, beliau mendakwa menerima petunjuk baharu berkenaan gambar suspek yang dikatakan menyamai fotofit dikeluarkan PDRM sebelum ini.


bharian/-

Polis masih buru pembunuh Nurin Jazlin walaupun 14 tahun berlalu
Polis masih buru pembunuh Nurin Jazlin walaupun 14 tahun berlalu

Tiada ulasan: