07 Oktober 2021

Bentong Bypass dibuka, tiada lagi kesesakan

 

Bentong Bypass dibuka secara rasmi hari ini.


BENTONG – Laluan Central Spine Road (CSR) yang amat signifikan dalam mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar Bentong iaitu daripada persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 ke Lebu atau dikenali dengan Bentong Bypass dibuka secara rasmi hari ini.

Pembukaan laluan melibatkan Seksyen 5C dan 5D sepanjang 28.5 kilometer itu disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Fadillah berkata, projek bernilai RM631.98 juta yang siap sepenuhnya pada April lalu itu sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan jajaran CSR yang dibuka kepada pengguna setakat ini adalah sepanjang 89.25 kilometer.

“Berdasarkan kajian projek ini dapat memendekkan jarak perjalanan dan menjimatkan perjalanan daripada 45 minit kepada 20 minit yang mana selain menjadi laluan alternatif ia akan mengurangkan kesesakan trafik di bandar Bentong terutamanya pada waktu puncak, musim perayaan dan cuti sekolah.

“Projek ini juga akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna ke pantai timur dan mampu menjana ekonomi di kawasan Pahang barat khususnya kepada sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis perasmian pembukaan Jalan CSR Seksyen 5C dan 5D (Bentong Bypass) di sini, hari ini.

Projek Jalan CSR merupakan pembinaan jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 306.8 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur dengan kos keseluruhan sebanyak RM7.3 bilion.

Laluan Seksyen 5C dan 5D yang dibuka hari ini bermula daripada persimpangan LPT 1 sehingga ke persimpangan Lebu di Mempaga sejauh 28.5 kilometer.

Menurut Fadilah pembinaan keseluruhan jajaran Lebuh Raya CSR dari Kuala Krai, Kelantan ke Bentong dijangka siap sepenuhnya pada 2026 manakala laluan sambungan dari Lebu ke Raub sejauh 25.5 kilometer dijangka siap selewat-lewatnya pada 2023.

Katanya, laluan daripada Karak ke Pelangai yang juga dalam perancangan belum dimulakan kerana belum mendapat peruntukan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“CSR dari Gua Musang ke Karak peruntukan sudah ada dan sebahagian projek ini sudah siap serta ada yang dalam pembinaan, cuma yang tinggal pakej untuk menyambung ke Negeri Sembilan dan Johor,”katanya.

Sementara itu Wan Rosdy berkata, pembukaan laluan berkenaan memberikan manfaat besar khususnya kepada penduduk setempat yang dapat menjimatkan tempoh perjalanan serta mengelakkan kesesakan di bandar Bentong.

Ujarnya, ia juga memberi manfaat kepada masyarakat luar yang melalui lebuh raya berkenaan untuk pulang ke Kampung sama ada di Pahang atau pun ke Kelantan. – K! ONLINE

Tiada ulasan: