07 Oktober 2021

Malaysia meterai perjanjian beli ubat rawat Covid-19

 

Penyelidikan mendapati Molnupiravir dapat mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan berfungsi melawan varian Covid-19 seperti Gamma, Delta dan Mu. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Kerajaan telah menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) bagi pembelian ubat antiviral Molnupiravir dengan syarikat farmasi Amerika Syarikat (AS), Merck Sharp & Dohme.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, menerusi perjanjian berkenaan kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit Covid-19.

“Keputusan untuk membeli Molnupiravir adalah selari dengan persediaan untuk beralih ke fasa endemik Covid-19.

“Kajian yang dijalankan oleh Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir mampu menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50% selain turut berkesan terhadap varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu,” katanya dalam kenyataan.

Sejumlah besar kes yang dilaporkan di Malaysia adalah membabitkan varian Delta.

Khairy juga berkata, walaupun Molnupiravir berkesan, namun kaedah suntikan vaksin tetap diperlukan untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Bagaimanapun ubat itu tidak boleh mencegah jangkitan sebaliknya ia hanya bermanfaat kepada individu yang sudah dijangkiti.

Sebelum ini Khairy berkata, kerajaan sedang berunding dengan syarikat itu untuk membuat perolehan ubat antiviral yang boleh mengurangkan separuh risiko kematian atau kemasukan ke hospital.

Ubat itu dikatakan sebagai “kajian terbaru” dalam melawan virus berkenaan.

Reuters melaporkan, sekiranya penggunaannya dibenarkan, pil terbabit akan menjadi ubat antiviral oral pertama untuk pesakit Covid-19.

Tiada ulasan: